PRK Melor di Kelantan ditangguhkan - Utusan Malaysia

PRK Melor di Kelantan ditangguhkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.23 Melor susulan Proklamasi Darurat pada ketika ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya menerima pemakluman rasmi kekosongan kerusi itu oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Yakub semalam.

“Bagaimanapun, memandangkan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari lalu, PRK Melor ditangguhkan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Langkah itu ujarnya, berdasarkan peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkaitan Pilihan Raya DUN yang sedang berkuat kuasa sehingga 1 Ogos ini.

SPR jelas beliau, turut mengucapkan takziah kepada keluarga penyandang kerusi tersebut, Dr. Md. Yusnan Yusof, 52, dari Pas yang kembali ke Rahmatullah awal pagi 30 April lalu.

Allahyarham yang juga Timbalan Exco kerajaan Kelantan, meninggal dunia di kediamannya di Kota Bharu, Kelantan, serta meninggalkan balu, Romaini Mat Dau dan enam orang anak.

Anggota DUN Melor sejak 2013 itu ketika Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 lalu berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dengan cuma majoriti 647 undi.

Sebelum ini, kerusi DUN Bugaya di Sabah dan Parlimen Gerik di Perak yang sepatutnya perlu diadakan secara serentak pada 16 Januari lalu juga ditangguh ekoran Proklamasi Darurat.

Namun, dari sudut perundangan, ketiga-tiga PRK berkenaan kemungkinan besar tidak perlu diadakan setelah usia Dewan Rakyat melepasi ‘tempoh matang’ tiga tahun pada 16 Julai ini.

Had tersebut dikira dari hari pertama persidangan setelah istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Julai 2018 lalu.

Ordinan Darurat yang diwartakan ketika ini turut menyaksikan pembubaran secara automatik DUN Sarawak yang tamat tempoh ‘hayat’ pada 7 Jun depan ditunda selepas 1 Ogos kelak.

Situasi itu membolehkan proses Pilihan Raya DUN Sarawak ke-12 berlangsung selepas berakhir darurat ekoran keadaan wabak Covid-19 yang serius di negeri tersebut pada ketika ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya