PPV sesak sebab hadir tak ikut tarikh temu janji - Utusan Malaysia

PPV sesak sebab hadir tak ikut tarikh temu janji

KEADAAN sesak di Pusat Pemberian Vaksin Stadium Indera Mulia di Ipoh. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Gambar tular yang menunjukkan kesesakan orang ramai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia di sini kelmarin disebabkan mereka hadir tanpa temu janji.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, seramai 799 orang yang hadir bersama pengiring itu merupakan penerima yang gagal hadir pada tarikh temu janji yang ditetapkan menerusi MySejahtera sebelum ini.

Katanya, siasatan mendapati mereka hadir ke PPV bagi mendapatkan suntikan tanpa temu janji baharu disebabkan mukim Kinta telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam.

“Jumlah sebenar temu janji yang diberikan melalui MySejahtera bagi tarikh tersebut adalah seramai 1,570 orang namun terdapat 799 orang telah hadir tanpa temu janji bersama pengiring masing-masing.

“Keadaan ini menimbulkan kesesakan luar biasa kerana pihak pengurusan PPV terpaksa memberikan tarikh temu janji baharu kepada mereka yang gagal hadir sebelum ini,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, seramai 298 orang bakal haji akan menerima suntikan di PPV Stadium Indera Mulia di mana kesemua mereka telah diberi temu janji dua minggu lebih awal.

Katanya, pada hari kejadian, seramai 70 bakal haji telah dijadualkan untuk diberi suntikan pada sesi petang.

“Pemberian vaksin Covid-19 di PPV Stadium Indera Mulia bermula dari 24 Februari lalu dengan purata pemberian vaksin seramai 1,500 orang sehari. Proses pemberian vaksin berjalan dengan lancar dan keadaan adalah terkawal. Pihak kami dukacita dengan kejadian kesesakan orang ramai yang berlaku itu,” katanya.

Menurutnya, orang ramai diingatkan untuk hadir mengikut tarikh temu janji yang telah ditetapkan.

“Bagi mereka yang gagal hadir, penjadualan semula tarikh temu janji perlu dilakukan dengan menghubungi Helpdesk MySejahtera.

“Selaras dengan keputusan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), tiada pemberian vaksin akan diberikan tanpa temu janji atau secara walk-in,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya