JOHOR BAHRU: Hospital Pakar KPJ Johor yang dipilih Kementerian Kesihatan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mampu memberikan 200 dos suntikan vaksin sehari.
Pelaksanaan pemberian vaksin di hospital tersebut dijangka mampu merealisasikan usaha kerajaan meningkatkan jumlah penerima vaksin Covid-19 sehingga 150,000 suntikan sehari bagi tempoh dua bulan akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd. Azhar Abdullah berkata, bagi memastikan kelancaran proses vaksinasi dijalankan, lebih 100 petugas kesihatan yang terlatih ditempatkan di pusat tersebut.
Katanya, petugas telah diberikan taklimat secara menyeluruh mengenai pengurusan pemberian vaksin Covid-19 selain berpengalaman melakukan proses vaksinasi kepada petugas barisan hadapan di hospital sebelum ini.
“Lebih 95 peratus petugas dan kakitangan kita telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 sejak PICK dimulakan Mac lalu. Pengambilan vaksinasi ini amat penting dalam memberi keyakinan kepada mereka mendapatkan rawatan di hospital.
“Kita amat berbangga dan berbesar hati kerana terpilih sebagai salah sebuah pusat vaksinasi bagi petugas barisan hadapan kita. Ia adalah sebahagian daripada sumbangan kami kepada negara dalam mencapai sasaran untuk memastikan Malaysia selamat daripada Covid-19,” katanya ketika ditemui di Hospital Pakar KPJ Johor di sini semalam.
Mohd. Azhar berkata, prosedur dan proses mendapatkan vaksin di hospital swasta tetap sama seperti hospital kerajaan atau pusat komuniti lain iaitu pendaftaran masih dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera bagi individu yang layak.
Jelasnya, pihak hospital hanya menyediakan fasiliti dan petugas untuk pemberian vaksin mengikut prosedur operasi standard (SOP) kepada penerima vaksin Covid-19.
“Kerjasama antara pihak swasta dan awam amat penting dalam usaha memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap pengambilan vaksin Covid-19 ini dan seterusnya menyokong saranan kerajaan untuk memastikan 80 peratus keseluruhan populasi negara divaksin di bawah PICK,” katanya.
Menyentuh mengenai jenis vaksin Covid-19, beliau berkata, vaksin yang akan diterima oleh penerima di hospital akan ditetapkan Kementerian Kesihatan melalui agihan vaksin kepada pihaknya.
Katanya, setakat ini proses vaksinasi di hospital swasta masih belum ditawarkan secara berbayar dan orang awam dinasihatkan tidak menangguh untuk mendapatkan slot suntikan vaksin.