MELAKA: Penghasilan polyform dengan mengitar semula buangan sisa pepejal dan makanan di pasar borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) membantu pihak pengurusan menjimatkan kos pelupusan.
Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman berkata, dianggarkan sebanyak RM35,000 sebulan terpaksa ditanggung pihaknya untuk melupuskan sisa buangan yang terdiri daripada bekas polisterin, sayuran dan ikan yang rosak.
Menurut beliau, kini kos pelupusan hanya sekitar RM4,000 hingga RM5,000 dengan menggunakan mesin kitar semula polyform.
“Mesin ini mula beroperasi September tahun lepas dan dapat menghasilkan polyform seberat 200 hingga 400 kilogram dalam tempoh lima jam.
“Polyform boleh diproses untuk dijadikan bahan akhir seperti bingkai gambar, baja dan tetikus komputer. Bahan ini akan dijual kepada pengilang yang berminat,” katanya kepada pemberita pada program Lawatan Tapak Projek Kitar Semula Bahan Sisa Jualan Pasar Borong di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Puan Seri Dr. Halila Faiza Zainal Abidin; Naib Presiden Kanan, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Mariatini Othman dan Pengarah Urusan Syarikat SIS Resources (M) Sdn. Bhd., Datuk Kenny Siang Eaw Keong.
Tambah Shadan, buat masa ini terdapat dua buah mesin iaitu untuk sisa sayur-sayuran dan polistrin.
“Setakat ini tiada rancangan untuk menambah mesin tetapi akan ditambah sekiranya inisiatif ini mendapat sambutan yang baik,” katanya.
Sementara itu, Shadan berkata, pihak Majlis bersama kementerian mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak untuk mencari idea dan kaedah terbaik bagi melupuskan sisa buangan di pasar borong.
Polyform yang telah dikitar semula sehingga kini seberat 14.5 tan. -UTUSAN ONLINE