KOTA KINABALU: Pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador tentang rasuah politik memberi gambaran seolah-olah budaya membeli wakil rakyat ‘dihalalkan’ dalam sistem politik Malaysia.
Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, kenyataan berkaitan kewujudan ‘katak’ dalam politik menunjukkan budaya membeli wakil rakyat sesuatu yang dibolehkan dalam politik negara.
Hakikatnya, menurut Mohd. Azis, budaya sebegini tidak wajar berlaku dalam politik negara ini.
Dengan pendedahan itu, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus menyiasat perkara ini kerana Ketua Polis Negara (KPN) pasti mengetahui sesuatu yang berlaku dalam politik negara.
Persoalannya sekarang, apa tindakan SPRM terhadap kenyataan yang cukup serius yang didedahkan oleh KPN ini.
“Selaku bekas timbalan menteri dalam negeri, saya bersetuju dengan saranan KPN bahawa Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) perlu diketuai oleh seseorang yg mempunyai kredibiliti dan integriti dan tidak dipengaruhi oleh kuasa-kuasa politik.
“Agensi-agensi penguatkuasaan yang lain juga sewajarnya dipimpin oleh seseorang yang tidak dipengaruhi oleh kuasa politik. Ini bagi memastikan ianya bebas daripada tekanan politik atau digunakan sebagai alat untuk kepentingan politik parti pemerintah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah terdapat gerakan membeli dan mengugut pemimpin-pemimpin Warisan Plus. Malah, ada yang diberikan tekanan melalui agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri dan SPRM.
“Ada satu kes yang melibatkan seorang wakil rakyat yang diintip sehingga ke rumah dan situasi itu mendorong wakil rakyat Warisan Plus tersebut membuat laporan polis. Tidak lama selepas itu, rumah beliau didatangi pegawai LHDN.
“Tidak cukup dengan tekanan, proses beli dan ugut juga telah dimulakan dan kita dikejutkan dengan pembebasan mengejut bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman daripada 42 tuduhan rasuah tanpa melalui perbicaraan mahkamah,” katanya.
Susulan itu, Mohd. Azis melihat kewajaran untuk membuka semula kes-kes sebelum ini terutama yang melibatkan Musa Aman.
Beliau percaya pembebasan bekas Musa berkaitan dengan gerakan politik untuk menjatuhkan kerajaan Warisan yang tidak sehaluan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN). -UTUSAN ONLINE