Polis siasat Neelofa tidak pakai pelitup muka di mahkamah - Utusan Malaysia

Polis siasat Neelofa tidak pakai pelitup muka di mahkamah

KES pendakwaan Neelofa dan Muhammad Haris ditangguhkan ke bulan depan. -UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap selebriti, Noor Neelofa Mohd. Noor yang mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka seperti mana diwajibkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisoner Mohd. Said Ibrahim berkata, kertas siasatan dibuka susulan terkesan berita di laman sesawang ‘Kosmo Online’ yang tular di mana Noor Neelofa hadir ke Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Seremban semalam dengan mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka.

“Laporan polis diterima kerana tindakan (Noor Neelofa) tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka sepertimana diwajibkan pihak KKM kepada semua orang.

“Ini termasuklah kepada mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Said, penjelasan berkenaan SOP tersebut juga telah dikeluarkan oleh KKM setelah kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam mulai 1 Ogos 2020.

“Oleh yang demikian, satu siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 [P.U.(A)225/2021],” katanya.

Jelas beliau, pihak polis tidak akan berkompromi dalam mengambil apa jua tindakan bagi memastikan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan peraturan yang ditetapkan oleh KKM sentiasa dipatuhi.

Semalam, Noor Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Mohd. Ismal yang hadir ke Mahkamah Majistret Seremban di sini semalam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika berada di sebuah premis menjual karpet di Nilai 3 pada 2 Mei lalu.

Neelofa dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 atas satu pertuduhan gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’.

Muhammad Haris pula dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk ‘check in’ atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 19, Peratutan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya