PORT DICKSON: Polis membuka kertas siasatan berhubung Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini pada hari raya pertama, Khamis lalu.
Ia susulan penganjuran majlis berkenaan yang tular di media sosial selepas ia disyaki melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan dijalankan selepas polis menerima satu laporan berkaitan majlis tersebut pada pukul 10.53 pagi hari ini dan didakwa melanggar peraturan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Siasatan juga dibuat mengikut Peraturan 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam akaun Facebook Pusasda, telah dipaparkan satu hantaran beserta gambar mengenai Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Pasukan telah diadakan di Padang Kawad Cawangan dan Hangar, Bahagian Latih, Pusasda pada Hari Raya Pertama, Khamis lalu.
Majlis itu turut dihadiri Komandan Pusasda, Kolonel Mohd. Shauari Mat Piah.
Difahamkan, majlis tersebut dimulakan dengan solat sunat Aidilfitri seterusnya penyerahan sumbangan kepada petugas yang bertugas di balai pengawal hadapan.
Menurut Aidi Sham, pihak polis memandang serius sebarang pelanggaran SOP Aidilfitri yang telah ditetapkan oleh MKN memandangkan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat saban hari.
Dalam perkembangan lain, Aidi Sham berkata, tiga individu masing-masing berusia 34, 35 dan 37 tahun telah dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang dalam pemeriksaan di pantai Port Dickson di sini, Jumaat lalu.
“Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Port Dickson telah mengeluarkan tiga kompaun ke atas tiga individu tersebut kerana merentas daerah tanpa kebenaran yang telah digariskan dalam SOP MKN.
“Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi SOP Aidilfitri yang telah ditetapkan oleh MKN dan hanya keluar rumah apabila perlu sahaja,” katanya.
Jelas beliau, pasukan petugas SOP PKP juga akan terus memantau ziarah Aidilfitri dan memastikan SOP MKN dipatuhi sepanjang Aidilfitri ini. – UTUSAN ONLINE