KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka kertas inkuiri (siasatan dalaman) berhubung dakwaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai campur tangan menteri dalam Cawangan Khas (SB), Bukit Aman bagi kepentingan politik.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan itu dibuat susulan enam laporan polis yang dibuat di seluruh negara berhubung dakwaan itu.
Kata beliau, susulan itu, siasatan akan dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah, Dang Wangi memandangkan salah satu laporan turut dibuat di sana.
“Pihak kita dalam proses mengumpulkan keterangan berhubung dakwaan itu dan sekiranya ada keperluan kita akan panggil pihak yanb terlibat.
“Selepas itu, kita akan mendapatkan nasihat Pejabat Peguam Negara untuk diletakkan bawah seksyen apa bagi meneruskan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar khas bersama beberapa media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Acryl Sani, pihaknya masih belum menetapkan seksyen kesalahan dakwaan itu.
“Kebiasaanya, bagi kesalahan salah guna kuasa atau rasuah perkara itu membabitkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Bagaimanapun, kita akan tetap menyiasat perkara itu,” jelasnya.
Terdahulu, Abdul Hamid mendakwa Menteri Dalam Negeri dikatakan mengatur langkah untuk menjadikan “budaknya” sebagai pengarah agensi perisikan polis itu.
Hamid berkata, menteri tersebut cuba meletakkan seorang bekas pegawai kanan cawangan khas yang telah tamat kontrak tahun lalu, kerana dia mudah mengikut arahan ahli politik.
Langkah itu diatur selepas Cawangan Khas enggan menyertai operasi bagi tujuan politik sendiri.
Bagaimanapun, langkah itu terhenti apabila isu tersebut dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri.
Abdul Hamid turut mendakwa, menteri turut meminta cawangan khas melakukan “beberapa operasi” bagi tujuan politik sendiri, tanpa memberikan butiran lanjut atas sebab kerahsiaan.-UTUSAN ONLINE