KOTA KINABALU: Polis Sabah akan melaksanakan pemantauan dari rumah ke rumah sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun terhadap mana-mana rumah yang didapati mempunyai lebih daripada 20 orang tetamu.
Bagaimanapun, 20 orang itu harus terdiri daripada keluarga sahaja kerana aktiviti ziarah tidak dibenarkan kecuali membabitkan anggota keluarga.
Aktiviti rumah terbuka juga tidak dibenarkan sebagai langkah memastikan kes Covid-19 dapat dikawal dan lekuk dapat dilandaikan sepenuhnya.
“Saya menyeru masyarakat setempat supaya tidak payah balik ke kampung bagi menyambut Aidilfitri.
“Berdasarkan musim-musim perayaan lepas, setelah masyarakat kembali semula ke bandar selepas pulang ke kampung maka, akan wujudlah kluster baharu,” katanya selepas majlis pengagihan bubur lambuk oleh Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro) kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah hari ini.
Hazani berkata, kira-kira 60 sekatan jalan raya (SJR) akan dilakukan bagi memastikan tiada aktiviti rentas daerah sepanjang 10 hingga 16 Mei seiring dengan keputusan kerajaan negeri semalam.
Hampir 3,000 anggota keselamatan terlibat dalam SJR itu termasuk Pasukan Gerakan Am dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Kami juga ada pasukan jenayah komersial yang akan melakukan pemantauan melalui media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.
“Secara keseluruhan, kita mempunyai 358 pasukan pemantauan SOP untuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah,” katanya.
Menurutnya, penyediaan bubur lambuk itu dilakukan secara bergotong-royong pagi tadi antara kakitangan Kopetro dan anggota PDRM. Bubur lambuk berkenaan akan diagihkan kepada anggota PDRM yang bertugas.- UTUSAN ONLINE