Polis perlu bersikap lebih mesra rakyat - Utusan Malaysia

Polis perlu bersikap lebih mesra rakyat

Polis perlu sentiasa dekat dengan masyarakat -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan agar bersikap lebih mesra ketika berurusan dengan masyarakat yang memerlukan bantuan.

Penegasan itu dibuat Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, apabila beliau sering mendengar orang ramai dikasari di pejabat pertanyaan dalam bahasa kasar dengan sindiran yang tidak sepatutnya dikeluarkan.

“Ia satu perkara yang perlu dihentikan di setiap genap aspek di mana perkhidmatan diberikan sama ada di kaunter pertanyaan atau di lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR),” katanya dalam sidang akhbar khas bersama beberapa media dan Utusan Malaysia di Bukit Aman di sini semalam.

Terdahulu, Acryl Sani memberitahu tiga fokus utama akan ditekankan beliau adalah memperkasakan integriti dalam kalangan warga PDRM, memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan PDRM dan meneruskan usaha kerajaan mengekalkan kesejahteraan masyarakat.

Dalam pada itu, bagi memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan PDRM, Acryl Sani memberitahu, pelaksanaan perkhidmatan bukan sahaja di kaunter pertanyaan balai polis atau di SJR malah, ia diaplikasikan di mana-mana sahaja, tatkala berlakunya interaksi anggota PDRM dengan masyarakat.

“Di situlah berlaku proses perkhidmatan yang bermula kerana PDRM adalah satu organisasi dengan cogan kata ‘Sedia Berkhidmat’.

“Cogan kata berkenaan bukan sahaja untuk masyarakat bahkan sesama anggota polis sendiri turut bersedia berkhidmat.

“Sebagai contoh, anggota polis yang bertugas dalam unit sokongan seperti mekanik dan juruteknik yang memerlukan bantuan antara satu sama lain dalam perkhidmatan,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) di semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, Ibu Pejabat Polis Daerah dan balai polis akan diperkasakan dalam memastikan nilai integriti dalam kalangan warga PDRM dipertingkatkan.

Acryl Sani berkata, LDP berkenaan perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk menerangkan topik semasa yang sentiasa menjadi isu.

“Sebagai contoh, kita selalu melihat seseorang anggota polis itu teragak-agak dengan apa tindakan yang perlu dibuat apabila berhadapan dengan sesuatu situasi.

“Lebih lagi, zaman sekarang adalah zaman telefon pintar dengan masyarakat merakamkan tindakan PDRM berhadapan sesuatu situasi dalam bentuk video dan ini sekali gus menghakis keyakinan masyarakat.

Mengulas lebih lanjut, Acryl Sani berkata, perkara ini perlu diatasi dengan membuat perubahan dalam budaya kerja untuk menjadikan PDRM lebih berintegriti dan mempunyai jati diri.

“PDRM tidak akan sesekali menyembunyikan sebarang bentuk kesalahan jenayah, salah laku, rasuah atau pelanggaran disiplin dalam kalangan warga PDRM,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya