BALIK PULAU: Polis Pulau Pinang akan mengetatkan kawalan di lima ‘laluan tikus’ di sempadan negeri ini bagi menghalang cubaan orang ramai merentas negeri sempena menyambut perayaan Aidilfitri ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, para anggota dan pegawai akan ditugaskan di setiap sempadan negeri ini termasuk di laluan tikus sepanjang musim perayaan ini.
Menurutnya, pemeriksaan akan dijalankan di lokasi-lokasi yang telah dikenali pasti termasuk mengadakan sekatan jalan raya secara bergerak.
“Kita telah mengarahkan Ketua Polis Daerah untuk membuat pemeriksaan di jalan-jalan kecil atau laluan kampung di sempadan negeri ini sepanjang musim perayaan ini.
“Sebanyak 15 sekatan jalan raya diadakan di sempadan negeri ini sepanjang PKPB melibatkan seramai 700 keanggotaan,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, di sini malam tadi.
Dalam pada itu beliau memberitahu, pihaknya bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali dilaksanakan di negeri ini.
“Kita bersedia untuk membuat sekatan antara daerah sekiranya PKP dilaksanakan semula dengan melibatkan penugasan hampir 3,000 keanggotaan,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE