LIPIS: Polis memberi amaran kepada penduduk di sempadan Merapoh di sini ke Gua Musang, Kelantan supaya jangan membuka laluan tikus bagi membantu pengguna melepasi sempadan dua negeri ini.
Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, amaran itu juga melibatkan pengguna jalan raya yang mengambil kesempatan menggunakan laluan tikus untuk merentasi sempadan tersebut.
“Ingatan ini dibuat berikutan polis telah mengesan laluan tikus di tepi jajaran landasan kereta api ke Pantai Timur antara Merapoh – Gua Musang sebelum hari raya baru-baru ini dan sudahpun menutup dengan penghadang konkrit.
“Kita beri perhatian serius tentang jalan tikus ini kerana ada penduduk berdekatan sempadan membantu pengguna jalan raya malah mereka sendiri cuba merentas sempadan kedua negeri ini,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis di sini hari ini.
Menurut Azli, polis Lipis juga akan memantau sempadan daerah ini dengan Cameron Highlands, Jerantut dan Raub jik ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba membolosi daerah itu menggunakan jalan tikus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penduduk atau pengguna lain yang merentasi sempadan menggunakan jalan tikus dibimbangi antara punca penularan wabak Covid-19.
“Orang ramai dinasihatkan menggunakan jalan utama serta mengambil permit rentas daerah atau negeri yang sah termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana pematuhan arahan tersebut boleh membantu kerajaan mengawal dan menghapuskan wabak tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, polis Lipis telah mengadakan pemeriksaan mengejut di premis kerajaan dan bank apabila ada menerima aduan tentang kegagalan pematuhan 30 peratus kehadiran kakitangan dan pekerja termasuk tidak mematuhi SOP hari ini.
Menurutnya,. operasi pemeriksaan itu melibatkan 11 buah premis kerajaan dan lima buah bank di bandar lama Kuala Lipis dan Bandar Baharu Kuala Lipis untuk menentukan pematuhan SOP serta 30 peratus kakitangan atau pekerja boleh berada di pejabat dan bank berkenaan.
“Operasi ini melibatkan lima pasukan polis di sini melakukan pemeriksaan dalam usaha membantu kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19 yang dilaporkan meningkat setiap hari.
“Kita ada menerima laporan ada ketua jabatan dan majikan tidak mematuhi larangan 30 peratus kehadiran kakitangan atau pekerja, kecuaian penjarakan sosial di mesin pengeluaran wang di bank termasuk tidak memakai pelitup muka,” katanya. -UTUSAN ONLINE