Polis dibaling mercun - Utusan Malaysia

Polis dibaling mercun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan polis menyuraikan kira-kira 200 individu yang berkumpul bertukar gempar apabila dibaling mercun oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam kejadian di Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan aktiviti membakar mercun secara terbuka di lokasi berkenaan pada 12.50 tengah malam.

Katanya, pihaknya mendapati terdapat lebih 200 individu dipercayai penduduk pangsapuri berkenaan berkumpul di kawasan tempat letak kereta dan sedang bermain mercun.

“Keadaan menjadi sangat tegang dengan letupan mercun yang tidak terkawal apabila kehadiran polis disedari oleh penduduk pangsapuri terbabit.

“Anggota polis yang bertugas memberikan amaran kepada orang awam untuk menghentikan perbuatan bermain mercun, namun tidak diendahkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Eng Lai berkata, ketika pihaknya cuba menyuraikan mereka yang berkumpul tiba-tiba satu letupan kuat berlaku dan hampir mengenai pihak polis yang sedang bertugas di lokasi kejadian.

Jelas beliau, letupan terbabit dipercayai daripada mercun yang sengaja dilontar kepada pihak polis.

“Selepas letupan itu berlaku, orang ramai kemudian segera beredar dari kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan selepas kejadian itu berlaku dan keadaan di lokasi kejadian berjaya dikawal pihak polis.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil kerana menakutkan secara jenayah dan larangan membakar bunga api yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap individu yang melanggar peraturan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya