Polis berkas remaja lelaki suspek kes pecah rumah, kedai - Utusan Malaysia

Polis berkas remaja lelaki suspek kes pecah rumah, kedai

SUSPEK kes pecah rumah dan kedai (gambar kecil) ditahan bersama sebahagian barang kes di hadapan sebuah premis di Pusat Perniagaan Kiara Square, Bahau, Jempol. - UTUSAN/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah dan kedai di sekitar Bahau dan Batu Kikir dekat sini sejak 26 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, suspek berkenaan ditangkap di hadapan premis Pusat Perniagaan Kiara Square di sini, kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Menurutnya, terdapat 11 kes pecah rumah dan kedai di sekitar kawasan tersebut dalam tempoh berkenaan dengan nilai anggaran kerugian adalah sebanyak RM28,000.

“Suspek ditangkap hasil rondaan, intipan dan siasatan yang dijalankan polis. Suspek mengaku melakukan empat daripada 11 kes pecah rumah dan kedai berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek turut mengaku menggunakan sebatang besi kuku kambing dan sebatang pemutar skru panjang bagi memecah masuk ke dalam rumah dan kedai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chang Hook berkata, suspek sebelum ini bekerja di sebuah kedai aksesori kenderaan namun disebabkan sering dimarahi majikan, suspek berhenti kerja.

Menurutnya, suspek kemudiannya mula terbabit dalam aktiviti menyalahi undang-undang dengan memecah rumah dan kedai.

“Tertangkapnya suspek ini polis menemukan dan merampas semula barang kes iaitu satu beg sandang berwarna hitam, sebatang besi kuku kambing, satu pemutar skru panjang, serangkai kunci motosikal, sebuah motosikal jenis Honda Ex5 berwarna hitam, satu beg pinggang dan wang tunai bercampur-campur sebanyak RM308.

“Selain itu, telefon bimbit, permainan dron bersama alat kawalan jauh, kamera digital, komputer riba dan kamera turut dirampas,” katanya.

Polis turut menemukan dan merampas barang kes berupa seutas jam tangan, dua utas rantai leher berwarna kuning, seutas rantai tangan berwarna kuning, tiga bentuk cincin berwarna kuning, sehelai baju Melayu berwarna biru, sebuah beg komputer riba, sebuah beg kamera dan sepasang rim motosikal berwarna merah.

“Suspek yang kini disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 3 Jun ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya