PONTIAN: Tanaman pokok bonsai kelapa yang semakin diminati masyarakat sebagai perhiasan di halaman rumah menjadi antara sumber pendapatan di samping hobi masa lapang bagi sesetengah orang.
Namun seorang pesara kerajaan, Hassan Mohd. Yunos, 75, berkata, walaupun sudah menanam 100 pokok bonsai tersebut, dia setakat ini tidak pernah menjualnya meskipun terdapat permintaan termasuk ada yang mahu memborongnya.
Bekas kakitangan Majlis Daerah Pontian (MDP) itu berkata, dia mula tertarik menghasilkan bonsai kelapa ketika berkunjung ke sebuah rumah di Kluang setelah melihat kecantikan pokok tersebut.
Katanya, bermula dari situ dia memulakan usaha membuat bonsai kelapa dengan tujuh pokok pada tiga tahun lalu, seterusnya menjangkau ke 10 pokok beberapa bulan selepas melihat percubaan pertamanya berjaya.
“Pemilihan benih kelapa penting bagi memastikan pokok bonsai tumbuh dengan baik serta mampu direka bentuk mengikut pokok-pokok seperti di negara luar.
“Sebagaimana pokok bonsai lain yang bernilai tinggi diukur dari segi usia mahupun reka bentuk, bonsai kelapa juga boleh menarik minat pembeli untuk dijadikan hiasan di halaman rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia di Taman Semerah Indah, Kampung Parit Semerah di sini semalam.
Menurut Hassan, pokok bonsai yang menjadi kegemaran masyarakat Cina itu dikatakan mampu mencapai harga antara RM250 hingga RM300 jika menepati cita rasa pembeli.
Namun jelasnya, dia tidak tahu untuk meletakkan harga bonsai kelapanya sama ada hendak menjual dengan harga mahal ataupun mengikut perbelanjaan yang dikeluarkan seperti pasu, tanah dan sebagainya.
“Kalau ikut perbelanjaannya tidak sampai pun RM100 sepokok kerana benih kelapa kebanyakan diberikan percuma oleh rakan-rakan setelah banyak tumbuh di kebun mereka, cuma dari segi keringat dan masa itu mungkin perlu dinilai juga.
“Jika ada permintaan daripada peminat bonsai kelapa untuk membeli, saya serahkan kepada mereka untuk menilai serta meletakkan harga bersesuaian berdasarkan kepada reka bentuk, kecantikan dan kesuburannya,” katanya.