PKRC baharu dirancang dibuka di NS, tampung peningkatan pesakit Covid-19 - Utusan Malaysia

PKRC baharu dirancang dibuka di NS, tampung peningkatan pesakit Covid-19

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) baharu dirancang untuk dibuka di negeri ini sekiranya bilangan kes pesakit Covid-19 terus menunjukkan peningkatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, PKRC tersebut akan dibuka di Kolej Kejururawatan Kuala Pilah yang mampu menempatkan kira-kira 800 pesakit bagi tujuan kuarantin dan rawatan.

Tambah beliau, sekiranya keadaan memerlukan, kerajaan negeri juga akan memohon supaya sebuah Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diwujudkan di negeri ini.

“Kapasiti katil, kita ada 832 buah katil di hospital dan di PKRC iaitu di Politeknik Port Dickson, kita ada 900 katil ini. Penggunaan sekarang adalah sebanyak 1,137 katil dengan kekosongan sebanyak 595 buah katil yang kalau boleh tidak perlu diisi.

“Kita ada perancangan untuk membuka PKRC di Kolej Jururawat Kuala Pilah sebanyak 800 katil lagi, ini kalau sudah terpaksa dan rundingan sedang dibuat, jika keadaan memerlukan, kemungkinan Hospital Medan juga perlu ditambah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, hari ini.

Sementara itu, ujar Aminuddin, dua buah hospital lagi di negeri ini telah dibuka bagi tujuan merawat pesakit Covid-19 iaitu di Hospital Jelebu dan Hospital Jempol bagi menampung bilangan pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini dan Hospital Tampin.

“Katil di HTJ dan Hospital Tampin penuh dan kita terpaksa tambah lagi dua tempat iaitu hospital hibrid untuk pesakit Covid-19 iaitu sebanyak 42 katil tambahan di Hospital Jelebu dan 74 buah katil di Hospital Jempol.

“Saya harap dan menyeru kepada masyarakat supaya jaga kesihatan, kita tidak mahu tambah lagi jumlah katil, cukuplah,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sehingga semalam, seramai 821 individu di negeri ini enggan menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Bilangan yang enggan menerima adalah 297 orang bagi fasa pertama dan fasa kedua meningkat menjadi 524 orang.

“Saya berharap masyarakat supaya yakin dengan vaksin yang disediakan, sebenarnya peluang ini amat ditunggu-tunggu oleh rakan-rakan lain yang masih menanti vaksin,” katanya yang memberitahu sehingga kini seramai 99,145 orang telah menerima vaksin Covid-19 di negeri ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya