PETALING JAYA: PKR mempersoal Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang tidak mempunyai maklumat terbaharu atau perkembangan terkini mengenai pendaftaran vaksin melibatkan warga emas.
Pengarah Komunikasi Wanitanya, Loh Ker Chean berkata, ini kerana kementerian itu semalam hanya mengulangi fakta iaitu seramai 48,564 warga emas dikemukakan oleh KPWKM kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menerima vaksin Covid-19.
Malah, katanya, pada 24 Februari lalu, Menterinya, Datuk Seri Rina Harun sudah pun meminta Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberikan keutamaan kepada senarai tersebut.
“KPWKM sepatutnya memberikan status kemas kini perkembangan jumlah pemvaksinan kumpulan warga emas ini selepas satu bulan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2 dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Ker Chean lagi, KPWKM hanya dapat memastikan 48,564 daripada jumlah 3.5 juta warga emas di negara ini iaitu hanya 1.38 peratus berdaftar dengan PICK dan status penerimaan suntikan yang masih tidak tertentu.
“Persatuan pengendali rumah jagaan orang tua menerusi setiausahanya, Muntoh Fong sebelum ini mendedahkan bahawa terdapat 1700 buah pusat penjagaan warga emas di seluruh negara. Maksudnya, KPWKM cuma memantau 22 peratus daripada pusat penjagaan warga emas di seluruh negara kerana hanya 382 daripada 1700 buah Pusat penjagaan warga emas berdaftar dengan kementerian.
“Persoalan saya adalah, siapakah yang akan memantau dan membantu mereka yang tidak berdaftar bawah KPWKM?” soalnya lagi.
Dengan catatan angka tersebut, jelas Ker Chean lagi, adalah mustahil Malaysia boleh mencapai 80 peratus warga emas untuk menerima suntikan vaksin dalam empat bulan.
“Saya memohon penjelasan daripada Rina dalam 48 jam tentang isu ini. Beliau perlu membuktikan bahawa KPWKM di bawah pimpinan beliau sentiasa memantau situasi semasa berkaitan PICK kepada fasa kedua kumpulan sasar kementerian dan membuktikan beliau tidak menjadikan jawatan Menteri sebagai pekerjaan sampingan.
“Jika tidak, Rina gagal teruk sebagai seorang Menteri,” ujarnya lagi. -UTUSAN ONLINE