PKPD: Solat Jumaat tidak dibenarkan di Besut - Utusan Malaysia

PKPD: Solat Jumaat tidak dibenarkan di Besut

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Aktiviti solat Jumaat tidak dibenarkan di semua masjid di 15 mukim di Besut sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hingga 4 Jun ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, ahli kariah hendaklah menggantikan solat itu dengan Zuhur dan menunaikan solat fardu lain di rumah masing-masing.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan Mufti Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus susulan peningkatan kes harian positif Covid-19 di daerah tersebut.

“Solat fardu berjemaah di masjid dan surau dibenarkan dengan hanya lima orang melibatkan kalangan pegawai dan ahli jawatan kuasa.

“Di samping itu, laungan azan di surau dan masjid turut dibenarkan sebagai makluman kepada ahli kariah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Osman, sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain adalah dilarang sepanjang tempoh PKPD termasuk tidak membenarkan solat jenazah di masjid dan surau.

Sehubungan itu, katanya, pengurusan solat jenazah hendaklah dibuat di rumah atau premis persendirian dengan tidak melebihi 20 orang termasuk pegawai atau jawatankuasa masjid dan ahli keluarga terdekat.

Katanya, bagi pengebumian jenazah di tanah perkuburan pula kehadiran adalah sama dengan tidak melebihi 20 orang.

“Mana-mana masjid dan surau yang diarah tutup mengikut Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan,” katanya.

Dalam pada itu, Osman berkata, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat Besut mematuhi setiap arahan ditetapkan dan bersama-sama memainkan peranan dengan barisan hadapan untuk menangani wabak daripada terus merebak. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya