ALOR SETAR: Peniaga di Pasar Besar Alor Setar di sini mengeluh ekoran kekurangan pelanggan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah sejak 11 Mei lepas sekali gus menyebabkan perniagaan mereka kerugian.
Menurut seorang peniaga ayam, Syamin Abdul Aziz, 49, masalah itu diburukkan lagi dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menular khabar angin tentang jangkitan Covid-19 dalam kalangan peniaga di situ.
“Dulu boleh jual sehari 400 hingga 500 ekor ayam sehari tetapi sekarang kalau ambil 200 ekor pun kena bawa balik separuh.
“Kalau PKPD ini berterusan tak tahulah apa yang akan terjadi. Pendapatan seharian ini untuk bayar upah harian pekerja sahaja, “ katanya di sini hari ini.
Seorang peniaga ikan, Cheah Rik Chet, 33, pula berkata, peniaga di sini mengharapkan kerajaan tidak membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh PKPD yang berakhir 1 Jun ini kerana dikhuatiri ada peniaga yang gulung tikar.
“Setakat dua minggu mungkin boleh tanggung kerugian tapi kalau lebih mungkin banyak peniaga terpaksa tutup kedai,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, permintaan yang berkurangan ke atas barang basah seperti ayam, daging dan ikan mengakibatkan harga barang itu stabil sepanjang PKPD.
“Pada pemantauan CAKE, harga ayam dijual antara RM7.70 hingga RM8.50 sekilogram. Sementara daging pula, RM34 hingga RM38 sekilogram,” katanya.
Katanya, permintaan terhadap barang basah turut berkurangan ekoran penutupan lebih banyak restoran dan gerai makan di kawasan PKPD ketika ini.
“Dianggarkan 700 pengusaha restoran dan gerai makan terjejas ketika ini kerana PKPD. Ada yang membuat keputusan untuk menutup perniagaan dan ada yang mengurangkan jualan masing-masing,” katanya. -UTUSAN ONLINE