PKPD: Guna dron pantau SOP - Utusan Malaysia

PKPD: Guna dron pantau SOP

AHMAD Muafiri Muhamad (kanan) dan Muhammad Hasrul Hashim membuat pemantauan pematuhan SOP PKPD menggunakan dron di kawasan Klebang, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Unit Dron Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak membantu pihak berkuasa memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan penduduk di Mukim Hulu Kinta di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pegawai Unit Operasi APM Perak, Ahmad Muafiri Mohamad berkata, penugasan unit dron itu bergantung kepada keperluan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Katanya, apabila diperlukan, unit itu akan digerakkan bagi melakukan tinjauan dan pemantauan udara menggunakan dron di sekitar Ipoh.

“Tujuan pemantauan menggunakan dron ini ialah bagi memastikan masyarakat di Ipoh mematuhi SOP PKPD sepenuhnya.

“Ketika pemantauan menggunakan dron di sesuatu kawasan, jika kita mengesan berlaku pelanggaran SOP seperti aktiviti berkumpulan, kami akan mengambil video atau gambar dan disalurkan segera kepada IPD Ipoh untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika melakukan pemantauan SOP PKPD menggunakan dron di sekitar Klebang di sini hari ini.

Menurutnya, ia merupakan kerjasama julung kali di antara APM Perak dengan IPD Ipoh dan berjaya membantu memudahkan penugasan pemantauan SOP oleh pihak polis sejak hari pertama pelaksanaan PKPD di Mukim Hulu Kinta pada Sabtu lalu.

Katanya, setakat ini pemantauan menggunakan dron dilakukan di Pasar Awam Kampung Simee, Pasar Awam Kampung Rapat serta Pusat Perniagaan Greentown.

“Satu unit dron mampu melakukan pemantauan dalam tempoh masa 30 minit hingga sejam, bergantung kepada keadaan cuaca dan kesesuaian lokasi.

“Dron yang digunakan mampu terbang dalam radius lima hingga lapan kilometer dalam satu-satu masa,” katanya.

Menurutnya, Unit Dron APM Perak yang ditubuhkan tahun lalu dianggotai empat orang dan dilengkapi tiga aset unit dron.

“Tujuan utama unit ini ialah membantu melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang atau lemas selain untuk pemantauan bencana alam,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya