ALOR SETAR: Jumlah kes Covid-19 di sembilan lokaliti di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah di Jitra serta 28 mukim dalam daerah Kota Setar belum menurun walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di kawasan itu sejak dua minggu lalu.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu memberi gambaran dan petunjuk pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKPD terlibat kurang berkesan.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya pelaksanaan PKPD di kawasan terlibat yang sepatutnya berakhir tengah malam ini, disambung bermula esok hingga 14 Jun depan.
“Pelaksanaan PKPD di kawasan terlibat dilanjutkan menggunakan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 serta PKPD. Itu bermakna, SOP yang berjalan di kawasan tersebut akan lebih ketat berbanding sebelum ini.
“Peningkatan kes di beberapa daerah di Kedah sejak kita mulakan PKPD pada 17 Mei lalu, kebanyakannya berpunca daripada kontak rapat. Maksudnya, kontak-kontak rapat yang terjangkit Covid-19 tidak mematuhi SOP dan itulah perkara yang dibimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas Exco kerajaan negeri yang diadakan secara dalam talian ekoran pelaksanaan PKPD di Kota Setar ketika ini.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, sebanyak 54.8 peratus daripada kes Covid-19 di Kedah dikesan melalui saringan kontak rapat diikuti 19.3 peratus saringan bergejala, 17.9 peratus saringan kluster, 4.3 peratus saringan PKPD dan 3.7 peratus saringan kendiri.
Katanya, setakat ini, sebanyak 93 kematian dicatatkan di Kedah melibatkan enam daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Langkawi, Padang Terap, Pendang dan Yan.
“Penggunaan katil di hospital seluruh Kedah mencapai tahap 93 peratus manakala penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Hospital Kulim serta Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) mencecah 86 peratus.
“Pada masa ini, seramai 2,227 individu yang disahkan positif bagi tahap satu dan dua sedang menjalani rawatan di rumah. Kebanyakan mereka berada dalam daerah Kuala Muda,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sehingga kini seramai 107,457 rakyat Kedah telah mengambil satu dos vaksin dan 63,746 pula sudah melengkapkan kedua-dua suntikan tersebut.
“Difahamkan terdapat 35 peratus individu yang tidak hadir untuk menerima vaksin setelah mereka menerima tarikh untuk berbuat demikian. Daripada jumlah itu, sebahagiannya menolak untuk divaksin manakala 50 peratus lagi tidak hadir akibat masalah komunikasi,” katanya.