PKP sukarkan agenda buka sempadan - Utusan Malaysia

PKP sukarkan agenda buka sempadan

MOHD. Izhar Ahmad (dua kanan) menyampaikan sumbangan penghargaan kepada pekerja Perkeso pada Program Jelajah 50 Tahun Perkeso Prihatin di Wisma Perkeso di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Peningkatan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat saban hari sehingga Kementerian Kesihatan mengemukakan cadangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini menyukarkan usaha pembukaan pintu sempadan antarabangsa dengan Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, pertambahan kes pandemik berkenaan semakin membimbangkan menunjukkan negara dalam keadaan yang tidak baik.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri tetap meletakkan harapan agar pintu sempadan dapat dibuka walaupun dalam masa yang singkat bagi membantu memulihkan ekonomi negeri ini.

“Melihat kepada angka sekarang, terus terang saya katakan agar sukar (pembukaan sempadan) kerana kerajaan Singapura kurang yakin dengan status kita dengan pertambahan kes setiap hari.

“Tetapi, kita (kerajaan negeri) tidak putus asa dan terus berusaha. Justeru, kita minta semua (rakyat negeri ini) beri kerjasama dan sampai kita minta divaksinkan, selagi rakyat Johor tidak divaksinkan lengkap dengan dua dos, selagi itu kerajaan Singapura tak akan pertimbangkan. Ini kerana Singapura sudah terkawal dan kes Covid-19 di sana terlalu rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Program Jelajah 50 Tahun Pertuduhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Prihatin di Wisma Perkeso, di sini hari ini.

Mohd. Izhar berkata, pembukaan sempadan yang memberi peluang pekerja rentas sempadan berulang alik seperti sebelum ini akan dapat menyaksikan proses pemulihan ekonomi berlaku lebih cepat.

Katanya, sekiranya pintu sempadan antara negeri Johor dan negara republik itu berterusan tertutup, ia akan menyebabkan semua sektor termasuk aktiviti perniagaan akan terjejas.

Oleh itu, kerajaan negeri sedang berusaha untuk meningkatkan pendaftaran bagi program vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera agar proses pemvaksinan berjalan lancar mengikut jadual.

“Kita minta semua rakyat beri kerjasama dan tidak mahu ada yang tularkan sehingga timbul salah faham tentang vaksin ini berbahaya dan memberi kesan sampingan.

“Langkah pemberian vaksin ini penting untuk pemulihan ekonomi Johor. Ini kerana keadaan ekonomi Johor agak unik kerana banyak aktiviti ekonomi bersandarkan kepada negara jiran.

“Bila pintu sempadan tidak dibuka, kita boleh dikatakan aktiviti dalam apa jua sektor sekalipun akan terjejas dengan amat dahsyat,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya