PKP seluruh KL, 14 mukim di Terengganu, 3 daerah di Johor, 1 mukim di Perak - Utusan Malaysia

PKP seluruh KL, 14 mukim di Terengganu, 3 daerah di Johor, 1 mukim di Perak

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas enam daerah di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga dilaksanakan perkara sama mulai Jumaat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKP turut diwartakan secara serentak di 14 mukim di Terengganu, tiga daerah di Johor dan satu mukim di Perak.

“Sejak 1 April hingga 27 April lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan 17 kluster baharu di seluruh ibu kota dengan jumlah kes harian meningkat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru ujarnya, setelah meneliti pembentangan dan cadangan kementerian itu, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP selama 14 hari yang bermula 7 Mei sehingga 20 Mei depan.

Prosedur operasi standard (SOP) di wilayah tersebut adalah sama seperti diumumkan di tempat lain sebelum ini termasuk waktu operasi premis makanan setakat 12 tengah malam.

Pergerakan merentas negeri jelas beliau, juga tidak dibenarkan kecuali atas urusan kerja dan perkara berkaitan kecemasan yang memerlukan kebenaran perjalanan daripada pihak polis.

Bazar Ramadan pula masih dibenarkan tetapi dengan SOP ketat dan tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Turut dikenakan PKP kata Ismail Sabri, ialah 14 mukim di Daerah Besut, Terengganu susulan peningkatan kes secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan tinggi iaitu 95 peratus.

Ia meliputi Kampung, Raja, Lubuh Kawah, Pelagat, Tenang, Keluang, Bukit Kenak, Kubang Bemban, Jabi, Kerandang, Pengkalan Nangka, Pasir Akar, Tembila, Bukit Puteri dan Kuala Besut.

Selain itu ujar beliau, daerah tersebut juga merekodkan 15 kluster sejak 1 April sehingga 3 Mei lalu malah ada menular ke lokaliti lain ekoran pergerakan pelajar dan pekerja dari negeri lain.

Pelaksanaan PKP jelasnya, untuk memudahkan pihak kementerian berkenaan menjalankan ujian saringan bersasar secara besar-besaran selain menyekat jangkitan ke luar lokaliti ini.

Sementara itu di Johor, PKP melibatkan Daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi ekoran kes aktif adalah tinggi dengan kebanyakan penularan adalah jenis sporadik dalam komuniti.

“Di samping itu, tiga daerah ini berstatus zon merah dengan jumlah kes adalah tinggi iaitu lebih 150 kes manakala kapasiti hospital dan unit rawatan rapi melebihi 70 peratus,” katanya.

Tidak ketinggalan dikenakan PKP ialah Mukim Taiping di Daerah Larut, Matang dan Selama, Perak susulan tiga kluster aktif di Kampung Expo, Kampung Pokok Assam dan Kamunting.

Ismail Sabri menambah, para penduduk di lokaliti terlibat, boleh merujuk SOP terperinci PKP menerusi laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara iaitu https://www.mkn.gov.my.

Antaranya tegas beliau, larangan penganjuran majlis rasmi dan tidak rasmi sama ada pihak kerajaan atau swasta serta tidak dibenarkan makan minum dalam sebarang premis makanan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN