BAYAN LEPAS: Para nelayan di negeri ini khususnya di sekitar Teluk Bahang merayu pihak berwajib memantau dan memainkan peranan bagi memastikan mereka tidak terus ditindas pemborong atau orang tengah.
Ini kerana menurut mereka, para nelayan kini makin tertekan dengan permainan harga oleh orang tengah itu yang membeli hasil tangkapan mereka pada harga terlalu rendah kononnya dengan alasan kerana kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Apa yang dikesalkan tambah mereka, hasil laut itu bagaimanapun masih dijual pada harga tinggi kepada pengguna di pasar-pasar awam sekali gus memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada pemborong atau orang tengah terbabit.
Sebagai contoh, orang tengah ketika ini memborong ikan kembung daripada nelayan pada harga sekitar RM3 sekilogram namun di pasar-pasar basah, harga ikan itu adalah dua kali ganda malah pernah mencecah sehingga RM8.
Menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Teluk Bahang, Johari Mohamad, tempoh PKP sepatutnya memberi kelebihan dan keuntungan kepada para nelayan pantai apabila hasil tangkapan laut mereka bertambah berbanding sebelum ini.
Ini kerana jelasnya, ancaman bot pukat tunda terutama daripada bot nelayan asing kini berkurangan hampir 50 peratus ekoran pelaksanaan PKP sejak awal tahun ini.
Namun jelasnya, kegembiraan nelayan yang berjaya membawa naik lebih banyak hasil laut yang ada kalanya lebih dua kali ganda berbanding sebelum ini tidak berpanjangan apabila orang tengah menawarkan harga terlalu rendah untuk memborong tangkapan mereka.
“Alasan yang diberikan mereka juga adalah disebabkan PKP, maka permintaan hasil laut daripada pengguna berkurangan.
“Para nelayan pula tiada pilihan kerana jika tidak ditolak kepada pemborong, pendapatan mereka akan terjejas manakala hasil laut itu pula akan rosak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau merayu pihak berwajib khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau dan mengawal harga hasil laut tersebut daripada terus dimanipulasi orang tengah sehingga menindas para nelayan. -UTUSAN ONLINE