PKP di Besut bermula Jumaat ini? - Utusan Malaysia

PKP di Besut bermula Jumaat ini?

Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin dilaksanakan di Besut bermula Jumaat ini berikutan peningkatan kes Covid-19 yang kini menular di hampir kesemua mukim di daerah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, penduduk diminta bersabar bagi menghadapi kemungkinan PKP sekali lagi dari 7 hingga 21 Mei menerusi pengumuman rasmi yang bakal dibuat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, setakat ini sebanyak tujuh kematian direkodkan di daerah berkenaan di samping empat pesakit yang dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU).

Malah, katanya, tiga bazar Ramadan dikenal pasti terlibat dalam penularan Covid-19 diikuti sebuah bank dan beberapa fasiliti kesihatan.

“Laluan tikus yang banyak di sempadan Besut-Kelantan menyukarkan lagi pengawalan, walaupun 16 lorong tikus ditutup tetapi wujud 20 lagi laluan haram baharu.

“Maka, demi untuk mengawal penularan wabak, kita tiada justifikasi dan hujah yang kuat lagi untuk mempertahankan agar tidak diadakan PKP di seluruh Besut,” katanya dalam hantaran di laman Facebook miliknya hari ini.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD Diperketatkan (PKPD) membabitkan lima lokaliti di Hulu Besut, Besut, berakhir semalam seperti dijadualkan.

Berdasarkan infografik di Facebook Jabatan Kesihatan negeri, sebanyak 176 kes Covid-19 direkodkan di Besut sehingga semalam dengan enam daripada keseluruhan lapan kluster membabitkan daerah berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN