PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) yakin dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mampu melandaikan keluk penularan Covid-19 di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya menjangkakan penurunan kes bergantung kepada usaha semua pihak dan tindakan dalam tempoh dua hingga empat minggu akan datang.
Katanya, penurunan ini boleh berlaku kerana melihat kepada pengalaman terdahulu melibatkan PKP 1.0 dan 2.0 yang menunjukkan penurunan kes yang mendadak.
“Apabila semua pihak serius mematuhi SOP, sudah pastinya virus Covid-19 tidak dapat merebak, malah akan mati kerana tidak dapat merebak ke individu lain untuk bermutasi.
“Sekiranya dua hingga empat minggu akan datang semua pihak duduk di rumah, sudah pasti penghujung PKP 3.0 akan menunjukkan hasilnya,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, pihaknya juga berasa berat hati kerana memikirkan kesan pelaksanaan PKP 3.0 kepada sektor lain yang terpaksa ditutup sementara, namun, pendekatan ini terpaksa diambil memandangkan penularan Covid-19 semakin meruncing.
“Jumlah kes harian sekitar 4,000 kes, 38,499 kes aktif dan 1,722 kes kematian dilaporkan setakat 11 Mei 2021, Malaysia sedang berhadapan dengan kesinambungan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional.
“Kita mesti bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Duduklah di rumah dan sekiranya perlu keluar untuk urusan yang penting, patuhilah SOP yang ditetapkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE