SEREMBAN: Fasa ketiga pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan berjalan seperti yang dijadualkan kerana lebih banyak dos vaksin akan tiba di negara ini pada bulan ini dan bulan-bulan mendatang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, untuk bulan ini, sebanyak 3.52 juta dos vaksin daripada Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca akan diterima diikuti kira-kira tiga juta dos lagi pada bulan depan dan lebih banyak stok pada bulan seterusnya.
“Walaupun Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi beritahu kita ada masalah bekalan, tetapi Kementerian Kesihatan yang membuat perolehan, kita telah dapat mengesahkan penghantaran vaksin itu mengikut jadual yang kita mahukan. Fasa ketiga akan mengikut jadual,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 3.52 juta dos yang diperoleh pada bulan ini adalah untuk dua kali pemberian vaksin yang bermakna 1.76 juta orang penduduk akan mendapatkan imunisasi.
“Bulan Jun, Julai, Ogos akan lebih banyak sampai, jadi kita yakin akan dapat buat vaksinasi lebih pantas,” katanya selepas melawat AMC Medical Clinic di sini sebagai persiapan bagi pelaksanaan PICK di fasiliti perubatan swasta.
Sementara itu menurut Adham, seramai 4,000 diplomat asing, kaunselor dan tanggungan mereka yang berada di negara ini telah dikenal pasti untuk diberikan vaksin di kedutaan masing-masing.