PETALING JAYA : Pharmaniaga Bhd. (Pharmaniaga) yakin dapat membekalkan kira-kira 8.6 juta dos vaksin Sinovac pada hujung Jun ini, sekali gus menunjukkan negara berada di landasan betul bagi memenuhi keperluan vaksin yang meningkat.
Pengarah Urusannya, Datuk Zulkarnain Md. Eusope berkata, sebanyak 3.6 juta dos vaksin itu dijangka diperoleh pada bulan ini manakala selebihnya pada Jun depan.
Beliau menambah sebilangan bekalan vaksin dibotolkan di kilang milik anak syarikat iaitu Pharmaniaga LifeScience Sdn. Bhd. (PLS) dengan proses itu disebut sebagai ‘diisi dan selesai’ manakala selebihnya datang sepenuhnya dari China.
“Kami bersedia meningkatkan produksi daripada dua hingga empat juta dos sebulan untuk membantu kerajaan mempercepat program vaksinasi sekali gus menjamin imuniti kelompok negara.
“Pharmaniaga berada di landasan tepat untuk memenuhi kewajiban kontrak kepada Kerajaan Persekutuan untuk jadual penghantaran yang dipersetujui dengan membekalkan vaksin ‘diisi dan siap’ serta vaksin Sinovac yang sudah siap,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, Pharmaniaga sedang menunggu persetujuan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan China (CFDA) untuk suntikan vaksin Sinovac untuk kanak-kanak berusia tiga hingga 17 tahun dan pengeluaran dua dos setiap botol sebelum menyerahkannya kepada Badan Pengawas Farmaseutikal Nasional (NPRA) bagi proses selanjutnya.
Katanya, kapasiti pengeluaran dijangka meningkat empat juta sebulan setelah botol dua dos diluluskan.
“Kami menjangka akan memerlukan sekitar dua hingga tiga minggu penilaian setelah dihantar ke NPRA diikuti dengan menjalankan uji kestabilan lain untuk dua dos per botol. Semua syarat ini adalah amalan biasa dalam industri vaksin untuk memastikannya selamat sebelum diedarkan kepada orang ramai,” katanya.
Zulkarnain menambah, pihaknya mencadangkan kepada kerajaan agar pihaknya membekalkan vaksin yang sudah siap serta vaksin ‘diisi dan siap’ untuk membantu kerajaan mempercepatkan program imunisasi nasional.
“Setelah itu,kami dapat mulai menawarkan vaksin Sinovac kepada sektor swasta,” tambahnya.
Sementara itu, Zulkarnain memaklumkan bahawa Pharmaniaga berhasrat untuk mengimport 10 juta dos vaksin Sinovac yang siap dari China.
“Dengan mempertimbangkan masalah geopolitik dan penawaran di seluruh dunia saat ini, penyediaan vaksin tidak dapat diramalkan dan mungkin ada kemungkinan kekurangan bekalan vaksin di Malaysia jika ini terjadi.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dijangka meluluskan vaksin Sinovac pada masa terdekat dan diramalkan apabila ia berlaku, permintaan global akan meningkat dan kita mungkin tidak dapat memperolehnya dengan mudah seperti sekarang. Oleh itu, kami berhasrat melakukan tempahan sekarang,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE