Pesawat Malaysia Airlines dari India penerbangan kargo - Utusan Malaysia

Pesawat Malaysia Airlines dari India penerbangan kargo

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan menegaskan penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) dari India yang memasuki Malaysia sebagaimana tular dalam media sosial sebenarnya hanya penerbangan kargo.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, semua penerbangan MAB melibatkan penerbangan pesawat penumpang juga kosong malah hanya membawa muatan barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier.

Katanya, pelaksanaan kaedah itu selari dengan arahan kerajaan selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkuat kuasa pada 28 April lalu bahawa semua penerbangan penumpang dari dan ke India dilarang memasuki Malaysia.

“Mengubah penerbangan penumpang kepada kargo bukanlah sesuatu yang baharu (P2C penumpang-ke-kargo), malah ia dipraktikkan MAB berbulan-bulan sebelum ini susulan pandemik Covid-19.

“Susulan tular isu terbabit, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), MAS Kargo di bawah kendalian Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Suruhanjaya Penerbangan Awam (Mavcom) juga telah mengesahkan fakta itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ka Siong berkata, semakan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah juga mengesahkan kes seorang pemegang pas pekerja asing warga India yang memasuki Malaysia adalah berlaku lebih awal iaitu pada 10 April.

Katanya, pelancong bukan Malaysia dari India tidak dibenarkan memasuki atau transit di Malaysia pada masa ini, namun pengecualian akan dibuat untuk warga Malaysia yang memasuki Malaysia dari India tanpa melalui imigresen dan kastam.

“Semua kru (juruterbang, jurutera, dan kru kabin) tetap berada di atas kapal. MAB juga melarang mana-mana kru penyelenggaraan pesawat dari India memasuki pesawat berkenaan.

“Pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara, pekerja perniagaan dan pelajar antarabangsa dari India juga akan dihalang tertakluk kepada arahan yang berkuat kuasa 28 April lalu,” katanya.

Tambahnya, rakyat Malaysia melibatkan pelajar dan pekerja, keluarga mereka dan pasangan bukan warga Malaysia yang pulang ke Malaysia dari India juga dibenarkan dengan kuarantin mandatori 14 hari di pusat-pusat yang ditetapkan.

“Bagaimanapun saya sangat kesal dengan penyebaran beberapa maklumat yang salah mengenai status penerbangan ini, namun saya memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan begitu prihatin dan peka dengan situasi di negara seluruh dunia dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan.

“Saya juga tidak menafikan, ia menimbulkan kegusaran ramai dan saya berharap penjelasan ini dapat meredakan keadaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya