PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam naik mendadak dengan 500 individu dicekup berbanding 286 individu diberkas kelmarin.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 489 dikompaun manakala 11 lagi direman dengan kes tertinggi, masih lagi gagal merekodkan butiran diri atau daftar masuk premis.
Kesalahan tersebut ujar beliau, merekodkan sebanyak 215 kes, diikuti aktiviti pusat hiburan (77), tidak mematuhi jarak fizikal (55), tiada memakai pelitup muka (53) dan lain-lain (100).
“Seramai tujuh orang pendatang asing tanpa izin (PATI) turut ditahan semalam melalui Operasi Benteng dengan sebanyak 125 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui 12 aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menyentuh isu kuarantin wajib, katanya, seramai 1,095 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya diarah kuarantin dengan sejumlah 7,937 individu masih lagi menjalani proses itu.
Kata beliau, seramai 1,767 individu terbabit dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 182,775 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.
Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam melakukan sejumlah 1,964 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis terlibat didapati mematuhi peraturan.
“Tiada pekerja asing didapati positif Covid-19 daripada sejumlah 372 pekerja asing yang menjalani proses itu semalam,” katanya. -UTUSAN ONLINE