SUNGAI PETANI: Polis sedang mengesan seorang pesakit Covid-19 yang melarikan diri dari Hospital Lama Sungai Petani di sini hari ini.
Pesakit berusia 39 tahun itu yang sudah enam hari menjalani rawatan di hospital tersebut disedari tiada di katilnya di wad B1 oleh seorang jururawat pada pukul 8.45 pagi tadi.
Pesakit lain memaklumkan lelaki terbabit membawa beg dan barangan peribadinya keluar pada pukul 6.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya mempergiatkan usaha mengesan pesakit Covid-19 yang melarikan diri berkenaan.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim di sini bagi tujuan pembedahan kecil pada tangannya yang bernanah pada Khamis lalu.
Katanya, lelaki terbabit menjalani ujian calitan Covid-19 sebagai prosedur hospital dan dimasukkan ke pusat kuarantin di wad B1 Hospital Lama Sungai Petani setelah keputusan positif di peroleh pada Jumaat lalu.
“Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) juga tidak dapat mengenal pasti subjek mempunyai kontak rapat dengan sesiapa memandangkan KKM sedang menyiasat perkara tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata, satu pasukan petugas khas telah digerakkan untuk mencari lelaki terbabit di rumahnya di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang di sini.
“Bagaimanapun, maklum balas daripada pihak pasukan petugas mendapati lelaki itu tiada di rumah,” ujarnya.
Tambahnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 11(3)(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – UTUSAN ONLINE