GEORGETOWN: Tahun lalu, perniagaan Dodol Desaku agak suram akibat pandemik Covid-19 namun pengusahanya, Nur Aimi Razak, 29, dapat menarik nafas lega pada Ramadan tahun ini apabila pengeluaran makanan tradisi keluarganya itu mampu mencecah satu tan metrik.
Nur Aimi berkata, permintaan pelanggan meningkat sehingga 60 peratus pada Ramadan ini selepas dia melakukan persiapan awal mempromosikan dodol pelbagai perisa itu.
Katanya, dodol itu dihasilkan sendiri dengan bantuan ibunya, Rozaidah Mohd Kasim, 53, di kedai mereka di Balik Pulau, di sini.
Jelasnya, pada Ramadan ini dia menggunakan sistem ejen untuk memudahkan urusan jual beli dan meluaskan pasaran Dodol Desaku ke negeri-negeri lain.
“Saya belajar daripada kesuraman ekonomi tahun lalu selepas negara dilanda pandemik Covid-19.
“Saya mulakan promosi dodol kepada pelanggan sejak Mac lalu dan kira-kira 20 ejen di sekitar Perak, Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur juga dilantik untuk memudahkan pelanggan mendapatkan dodol ini,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurut Nur Aimi, strateginya mengadakan promosi awal membuahkan hasil apabila pelanggan mula mengenali jenama Dodol Desaku dan menempahnya melalui ejen.
“Pengeluaran dodol yang sebelum ini dilakukan dua hari seminggu, kini saya hasilkan dodol setiap hari bagi menampung permintaan.
“Saya bersyukur kerana permintaan dodol tidak putus-putus selepas pelbagai promosi diadakan dengan lebih awal,” katanya.
Tambahnya, pandemik Covid-19 membuatkan dia aktif meneroka pasaran dalam talian untuk memperkenal jenama dodol mereka kepada pelanggan.
“Produk-produk seperti dodol yang serendah RM0.80 sen boleh didapati di platform online seperti Dodol Penang by Fnc Kola (Facebook), Dodol_penang (Instagram), FnC Kola Food Resources (Shoppe),” katanya. -UTUSAN ONLINE