Peralihan angin monsun reda hujan, banjir - Utusan Malaysia

Peralihan angin monsun reda hujan, banjir

JAILAN SIMON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fenomena hujan dan banjir kebelakangan ini akan berkurangan apabila Malaysia memasuki Angin Monsun Barat Daya mulai semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Jailan Simon berkata, hujan lebat dan berterusan sejak ke­belakangan ini disebabkan ketidakstabilan angin akibat berhadapan peralihan angin monsun.

“Apabila di akhir peralihan itu, memang macam itu (hujan) kerana angin tidak stabil dan menyebabkan taburan hujan tidak seimbang seluruh negara. Bagaimanapun, apabila sudah memasuki Monsun Barat Daya, maka angin akan menjadi lebih seimbang,” katanya.

“Namun, buat sementara ini, angin masih belum stabil lagi. Walaupun semalam sudah masuk dalam Monsun Barat Daya, tetapi masih memerlukan dua tiga hari lagi untuk menstabilkan angin dan apabila sudah stabil, hujan akan berkurangan,” katanya.

Menurut Jailan, hujan lebat pada sebelah pagi tetap berlaku sekali-sekala sekiranya berlakunya tumpuan angin di selat Melaka.

“Tumpuan angin melibatkan angin dari tenggara dan angin dari barat laut yang bertumpu di laut selat Melaka. Itu kita panggil sumatera atau garis badai. Perkara itu biasanya akan berlaku sebanyak tiga atau empat kali dalam satu monsun sepanjang monsun itu.

“Oleh sebab itu apa yang berlaku di Melaka baru-baru ini sebenarnya adalah kesan daripada tumpuan angin itu yang menyebabkan berlaku sedemikian apabila angin tersebut masuk ke kawasan daratan.

“Jika ada banjir, itu mungkin disebabkan banjir kilat. Namun perlu juga ambil langkah berjaga-jaga kerana jika banjir kilat lumpur tetap perlu berpindah juga, tetapi tidak lah mengambil masa yang lama.

“Pada masa sama, (banjir) bukan sahaja disebabkan hujan kerana sesetengah hujan itu tidaklah selebat mana, malah biasa sahaja tetapi ia disebabkan oleh pembangunan. Pembangunan banyak, tetapi sistem saliran masih sama yang boleh menyebabkan banjir kilat,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya