Penutupan bazar Ramadan, 90 peniaga makanan dibenarkan beroperasi di lokasi lain - Utusan Malaysia

Penutupan bazar Ramadan, 90 peniaga makanan dibenarkan beroperasi di lokasi lain

SEBAHAGIAN penguat kuasa pihak berkuasa beruniform membuat pemantauan operasi Bazar Ramadan sebelum ditutup pada 30 April lalu berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di bandar Raub baru-baru ini. UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Majlis Daerah Raub (MDR) membenarkan peniaga meneruskan jualan makanan di mana-mana lokasi kawasan bandar ini selepas penutupan bazar Ramadan bermula 30 April lalu sehingga 13 Mei ini berikutan pelaksanaan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setelah peningkatan penularan pandemik Covid-19 di daerah ini.

Yang Dipertua MDR, Datuk Mohammad Shahid Ismail berkata, operasi perniagaan Bazar Ramadan Raub ditutup berasaskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP dan peniaga boleh menjual di kawasan tertentu dengan mematuhi beberapa syarat.

“Kita amat bersimpati dengan 90 peniaga makanan di bazar Ramadan akibat penutupan operasi di sini, mereka kehilangan pendapatan, namun, kita tak endah dengan tekanan mereka alami dengan meneruskan perniagaan di tempat lain di bandar ini.

“Penutupan Bazar Ramadan dilakukan berikutan penularan pandemik Covid-19 meningkat di daerah ini dan kita terpaksa memfokuskan kawalan dan pencegahan berasaskan SOP PKP yang dikuatkuasakan mulai 30 April lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohammad Shahid, kebenaran untuk meneruskan perniagaan itu bagaimanapun tertakluk syarat tertentu iaitu antaranya, peniaga boleh memilih mana-mana lokasi yang sesuai asalkan tidak mengganggu lalu lintas dan jaminan keselamatan pengguna jalan raya.

“Peniaga perlu mematuhi penjarakan (kedudukan) yang sesuai antara gerai dan tidak digalakkan banyak gerai di sesebuah lokasi dan kebenaran juga diberikan boleh berniaga di hadapan rumah,” katanya.

Beliau berkata, seperti perniagaan di premis lain, pematuhan SOP amat penting dan keutamaan peniaga menyediakan di gerai mereka QR Code MySejahtera atau memastikan daftar setiap pelanggan menggunakan MySejahtera atau buku.

Mohammad Shahid yang juga Pegawai Daerah Raub berkata, MDR memberikan kelonggaran peniaga Bazar Ramadan tidak perlu memohon lesen penjaja beredar mulai 30 April lalu sehingga 12 Mei ini.

“Peniaga wajar mematuhi SOP PKP dan masing-masing perlu bertnggungjawab serta menzahirkan nilai integriti apabila diberi peluang berniaga dalam tempoh ini.

“Penguatkuasa MDR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan sentiasa memantau di setiap lokasi peniaga dan gerai sepanjang masa bagi memastikan SOP dipatuhi,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN