PUTRAJAYA: Penuntut institusi pendidikan tinggi (IPT) yang masih belum pulang ke kampus masing-masing diminta menangguhkan pergerakan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Ia berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) di seluruh negara esok.
Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataan memaklumkan, penuntut berkeperluan itu harus kekal berada di lokaliti masing-masing dan meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.
Jelasnya, penuntut berkeperluan yang berada di kampus pula diminta untuk terus kekal di kampus dan hanya dibenarkan keluar dengan kebenaran pengurusan IPT dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Semua aktiviti PdP secara bersemuka adalah tidak dibenarkan manakala aktiviti penyelidikan melibatkan kemudahan makmal dan peralatan khas yang berkeperluan sahaja serta secara individu dibenarkan dengan kebenaran ketua jabatan mengikut SOP ketat.
“Penuntut luar kampus yang terlibat dengan aktiviti penyelidikan yang memerlukan kemudahan makmal dan peralatan khas perlu mendapatkan surat kebenaran keluar masuk kampus daripada IPT masing-masing,” katanya di sini hari ini.
Kementerian Pengajian Tinggi menjelaskan, penuntut yang menduduki peperiksaan antarabangsa atau badan profesional dibenarkan tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat.
Katanya, penjadualan kedua-dua peperiksaan itu diuruskan sepenuhnya oleh organisasi profesional dan antarabangsa.
“IPT hanya membuat penyelarasan dari segi kemudahan fasiliti. Sebarang perubahan dari segi penjadualan adalah tertakluk kepada organisasi tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, kemasukan penuntut antarabangsa tertakluk kepada SOP sedia ada yang ditetapkan Jabatan Imigresen dari semasa ke semasa.
Pada masa sama, penuntut boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengoperasian IPT melalui Bilik Gerakan Covid-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 038870 6777/6949/6623/6628 selain melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing.