KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut apabila motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di simpang Klinik Kesihatan Manggatal, di sini, semalam.
Dalam kemalangan yang berlaku pada 8.20 malam itu, penunggang motosikal, Gelbert Gomili, 40, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Pemangku Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati pemandu pacuan empat roda yang berusia 52 tahun itu sedang memandu seorang diri dari arah Tuaran menghala ke Kolombong.
Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa tiba-tiba keluar dari susur pusingan-U menyebabkan pemandu pacuan empat roda itu tidak sempat mengelak dan terlanggar motosikal mangsa.
Dalam kejadian itu, penunggang motosikal berkenaan tercampak ke hadapan jalan di lorong sebelah kanan dan akibat rempuhan yang berlaku, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada 8.51 malam.
Mangsa kemudian dihantar ke unit forensik Hospital Queen Elizabeth untuk saringan Covid-19 dan bedah siasat. Sementara itu, pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan lanjut mendapati punca kemalangan disebabkan mangsa keluar simpang secara tiba-tiba hingga menyebabkan kemalangan dan kematian kepada diri sendiri. Namun, siasatan masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE