Peniaga rugi bazar Ramadan tutup - Utusan Malaysia

Peniaga rugi bazar Ramadan tutup

NURUL Syadira Abdullah Mohd. Shukri menunjukkan notis penutupan operasi bazar Ramadan yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Baling (MDB) di tapak Bazar Ramadan di pekan Baling, semalam. – MINGGUAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Nasib peniaga dan penjaja bazar Ramadan yang diarah tutup di beberapa lokasi di seluruh negara wajar mendapat pembelaan. Ini kerana mereka bukan sahaja kehilangan pendapatan tetapi terpaksa menanggung kerugian ekoran telah membeli barangan mentah lebih awal.

Di Baling, Kedah peniaga di bazar Ramadan di daerah itu terpaksa menanggung kerugian selepas diarah menutup operasi perniagaan berikutan pelaksa­naan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah itu berkuat kuasa hari ini.
Peniaga juga tidak bersetuju dengan penutupan tersebut diumumkan dalam tempoh yang singkat.

Peniaga minuman, Nurul Syadira Abdullah Mohd. Shukri, 19, berkata, mereka hanya menerima notis penutupan operasi daripada Majlis Daerah Baling (MDB) pada pukul 3 petang semalam.

“Saya terpaksa menanggung kerugian apabila kebanyakan barangan untuk berniaga telah dibeli lebih awal untuk simpanan selama sebulan.

Pada tahun ini, MDB menyediakan lima tapak bazar Ramadan di daerah ini melibatkan 268 lot niaga.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKP di lima daerah di negeri ini bermula hari ini hingga 14 Mei depan.

Lima buah daerah itu ialah di Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim.

Sementara itu, peniaga roti john, Abdul Aziz Zulkifli, 29, berkata, dia terkilan dan kesal dengan tindakan MDB yang mengeluarkan notis penutupan bazar Ramadan secara mengejut.

“Saya sebelum ini bersemangat apabila berpeluang buat pertama kali menjalankan berniaga di bazar Ramadan, namun kecewa bazar tersebut telah diarah ditutup lebih awal disebabkan PKP di daerah ini,” katanya.

Peniaga murtabak, Mohd. Bakri Karim, 46, berkata, keba­nyakan peniaga di bazar Ramadan itu juga telah membayar sewa tapak niaga sebanyak RM400 sebulan.

“Saya mengharapkan MDB dapat memulangkan semula bayaran sewa tapak tersebut untuk mengelakkan kerugian memandangkan modal perniagaan telah banyak dikeluarkan sebelum ini,” katanya.

Di Teluk Intan Perak, peniaga bazar Ramadan Dataran Nenas, Kampung Selabak merungut mengenai kerugian yang mereka tanggung selepas mengeluarkan modal yang besar untuk memulakan perniagaan.

Menurut peniaga, Johari Rahmat, jika bazar itu ditutup terus, dia mengalami kerugian.

Katanya, dia telah mengeluarkan modal sehingga lebih RM5,000 untuk berniaga sepanjang bulan Ramadan.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Ismail Ibrahim berkata, penutupan sementara bazar Ramadan itu yang berkuat kuasa hari ini sebagai langkah membendung jangkitan Covid-19.

Sementara itu, kerajaan ne­geri akan membantu 30 peniaga bazar Ramadan Bazar Dataran Nenas yang terjejas ekoran operasi bazar itu diarah tutup.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, pihaknya akan melihat bentuk bantuan sesuai untuk disalurkan kepada peniaga terlibat.

“Sama ada bazar itu akan dibuka semula atau tidak, saya tiada jaminan kerana kemungkinan akan ditutup sehingga raya,” ujarnya.

Sementara itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat keputusan untuk terus membenarkan operasi Bazar Ramadan di Jalan Raja Alang dan Taman Setiawangsa dengan penambahbaikan rosedur operasi standard (SOP) untuk kedua-dua bazar tersebut.

“Bazar ini sepatutnya ditutup operasinya selaras dengan arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mulai 1 Mei hingga 2 Mei.

“Setelah memperoleh maklumat terbaharu, DBKL membuat keputusan untukmembenarkan kedua-dua bazar ini beroperasi semula seperti biasa dengan menambah bilangan anggota penguatkuasa bagi memastikan SOP dipatuhi dengan kawalan yang dipertingkatkan,” menurut DBKL dalam kenyataan semalam. DBKL masih menunggu keputusan terkini daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan berhubung isu itu .- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN