Peniaga kosmetik diperdaya ejen bomoh - Utusan Malaysia

Peniaga kosmetik diperdaya ejen bomoh

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN :  Seorang peniaga kosmetik kerugian RM18,350 akibat diperdaya wanita yang menjadi ejen kepada seorang bomoh ketika kejadian baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 25 tahun mula mengenali suspek pada 16 April lalu.

“Mangsa menceritakan masalah perniagaannya berkait seorang lelaki yang tidak menjelaskan hutang selepas mengambil barang di kedainya.

“Suspek memaklumkan mengenali seorang bomoh. Dia mengajak mangsa bertemu bomoh itu untuk melembutkan hati lelaki tersebut supaya membayar hutang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, suspek lantas meminta mangsa menyerahkan wang tunai kepada bomoh itu antara tempoh pertengahan April hingga awal 10 Mei lalu.

Menurutnya, mangsa turut diminta menyerahkan gelang emas yang dipakainya kepada bomoh tersebut bagi melancarkan ritual perubatan yang dijalankan lelaki itu.

“Suspek berjanji akan memulangkan sebahagian wang serta barang kemas kepada mangsa apabila semuanya telah diselesaikan oleh bomoh tersebut.

“Bagaimanapun, mangsa mula berasa curiga apabila lelaki yang berhutang dengannya itu masih tidak menjelaskan hutang selepas sebulan berlalu,” katanya.

Ujar Mohd. Wazir lagi, mangsa lantas meminta suspek memulangkan semula wang dan barang kemas yang diserahkan kepada bomoh tersebut.

Tambahnya, suspek bagaimanapun enggan memulangkan wang tersebut, malah mengugut mahu melakukan santau ke atas mangsa.

“Suspek memberitahu telah meletakkan bungkusan kain berwarna kuning dan merah secara tersembunyi dalam kedai mangsa.

“Ia sekali gus menyebabkan mangsa berasa bimbang. Apabila menemui bungkusan itu, mangsa mendapati ia hanya mengandungi cebisan kotak,” katanya.

Mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Susulan laporan itu, polis menangkap seorang wanita berasal Sarawak serta lelaki dari Pakistan berusia antara awal 40-an di dua lokasi berbeza, semalam. Kedua-dua suspek direman selama empat hari bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya