ALOR SETAR: Seramai 400 pengusaha bot laut dalam di negeri ini mendakwa mereka terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM300 juta apabila mereka tidak dapat turun ke laut sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada Mac tahun lalu sehingga bulan ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Khas Pertubuhan Pemilik Bot Ikan Negeri Kedah, S. Sivakumar berkata, jumlah kerugian besar itu terpaksa ditanggung apabila bot mereka tersadai selepas tidak dapat keluar menangkap hasil laut kerana masalah kekurangan tekong dan awak-awak dalam kalangan rakyat asing.
Menurutnya, keadaan tersebut dijangka berlarutan dan boleh boleh melumpuhkan industri laut dalam sekiranya masalah kekurangan tekong dan awak-awak rakyat tidak dapat diselesaikan dengan segera.
Katanya, industri perikanan laut dalam di negeri ini sahaja memerlukan kira-kira 2,000 pekerja asing tersebut.
“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini juga akan menjejaskan proses untuk membawa masuk pekerja asing tersebut terutamanya dari Thailand,” katanya.
Beliau memberitahu, pada masa ini, sebanyak 20 hingga 30 buah bot laut dalam yang keluar menangkap ikan sejak beberapa bulan lalu bagi menampung permintaan ikan di pasaran.
Tambahnya, kebanyakan bot laut dalam tersebut menggunakan tenaga kerja tempatan dan rakyat asing yang memiliki pas lawatan kerja sementara selepas mereka berdaftar dengan Imigresen kerana tidak dapat pulang ke negara mereka disebabkan PKP tahun lepas.
“Kebanyakan bot laut dalam itu berjaya menangkap hasil laut kira-kira 30 tan sebulan untuk dijual di pasaran,” ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu, pihaknya juga telah mula membawa masuk seramai 38 tekong dan awak-awak dari Thailand pada awal bulan ini untuk bekerja di bot laut dalam di negeri ini dan Perak.
Katanya, seramai 35 tekong dan awak-awak lagi dijangka dibawa masuk dalam tempoh terdekat ini tetapi terpaksa ditangguhkan sementara berikutan PKP.
“Pertubuhan Pemilik Bot Ikan Negeri Kedah sebelum ini merancang untuk membawa masuk seramai 50 hingga 100 tekong dan awak-awak dari Thailand setiap bulan bagi memenuhi keperluan pengusaha bot laut dalam di negeri ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE