PETALING JAYA : Seorang pengurus sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki membuat tuntutan palsu hampir RM170,000 terhadap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 2018.
Penahanan lelaki berusia lingkungan 30 tahun itu dilakukan kira-koira pukul 11 pagi tadi di pejabat SPRM, Sabah ketika hadir memberi keterangan.
Menurut sumber, lelaki terbabit adalah pengurus syarikat yang terbabit dalam pelaksanaan Projek Community Drumming.
“Lelaki itu dipercayai telah mengemukakan surat akuan dan pengesahan palsu yang dikemukakan bersama dalam tuntutan yang berjumlah hampir RM170,000 pada 2018.
“Tuntutan itu dibuat kepada KPDNHEP Cawangan Kudat, bagi projek Community Drumming,” katanya di sini hari ini,
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit.
Kata beliau, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada 25 Mei ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.” jelasnya.-UTUSAN ONLINE