Pengiktirafan kerajaan bantu tingkat jumlah pekerja gig, bekerja sendiri - Utusan Malaysia

Pengiktirafan kerajaan bantu tingkat jumlah pekerja gig, bekerja sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyambut baik keputusan Majlis Pekerjaan Negara (NEC) berhubung pengiktirafan kerajaan sehingga menyebabkan peningkatan positif dalam jumlah Orang Bekerja Sendiri (OBS) termasuk pekerja gig ekonomi yang mendapat perlindungan sosial daripada Perkeso.

Bahagian Komunikasi Strategik Perkeso berkata, bilangan OBS aktif yang mendaftar dan mencarum dengan Perkeso bertambah dari 2,338 individu pada 2017 kepada 71,000 pada tahun 2019, malah, jumlah tersebut meningkat kepada 80,000 pada tahun 2020 dan telah melonjak kepada 142,000 individu setakat ini.

“Lonjakan ini adalah hasil daripada pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting yang dimainkan oleh mereka yang bekerja sendiri termasuk pekerja gig terutamanya dalam mendepani pandemik Covid-19.

“Pengiktirafan diberikan kerajaan juga membolehkan Perkeso dengan sokongan Kementerian Kewangan menerusi pelbagai pakej rangsangan yang diperkenalkan dengan merangka program padanan caruman bagi perlindungan sosial ke atas golongan yang bekerja sendiri.

“Program yang terlibat ialah PenjanaGig di bawah pakej Penjana bagi pekerja gig, SPS Lindung di bawah Belanjawan 2021 bagi ‘GIG riders’, para sukarelawan dan pekerja Contract For Services dalam sektor awam dan SPS Prihatin Wanita di bawah pakej Pemerkasa bagi usahawan dan pekerja wanita bekerja sendiri,” kata kenyataan itu hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat ketiga NEC secara persidangan video.

Dalam persidangan itu, beliau diberikan penerangan berkaitan inisiatif Pengekalan dan Penjanaan Pekerjaan di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi.

Katanya, secara keseluruhan inisiatif penempatan pekerjaan dan pewujudan pekerjaan baharu melalui komitmen pelaburan telah mengatasi sasaran yang ditetapkan.

Sehingga 23 April 2021, sebanyak 150,597 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui 12 program yang dilaksanakan oleh kerajaan dan kejayaan itu melebihi jumlah unjuran kumulatif setakat bulan April 2021 dengan sasaran kerajaan mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan bagi tahun ini.

Dalam pada itu, Perkeso berkata, NEC menyokong dan memperakui perancangan Perkeso memperluaskan liputan perlindungan keselamatan sosial yang diberikan kepada kumpulan OBS lain melalui beberapa inisiatif kerjasama bersama Kementerian Pengangkutan atau beberapa persatuan seperti Lembaga Kemajuan Perikatan Malaysia dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Justeru itu, kata kenyataan itu lagi, Perkeso menyasarkan untuk melindungi 200,000 pekerja aktif daripada kategori OBS pada hujung tahun ini.

Tambahnya, Perkeso bersama Kementerian Sumber Manusia juga merancang untuk meminda Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800) yang akan memberikan perlindungan kepada mereka jika berlaku kehilangan pekerjaan atau pendpaatan akibat kejutan ekonomi dan bencana alam.

“OBS yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan juga akan diberi akses kepada perkhidmatan pekerjaan menerusi portal MYFutureJobs dan program sasaran buruh aktif di bawah Perkeso yang akan membantu dalam mengurangkan tempoh masa pengangguran dan peningkatan kerjaya mereka,” katanya.

Antara lain, Perkeso menghargai persetujuan NEC agar program kerjaya UP dirangka bersama Kementerian Sumber Manusia diperluaskan dengan lebih agresif bagi membantu meningkat sosioekonomi golongan sasar program tersebut.

“Program ini akan dibawa menjelajah ke bandar-bandar besar di serta negara bermula Julai nanti. Program yang melibatkan 14, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini juga akan melaksanakan lima aktiviti utama iaitu temuduga, kaunseling kerjaya, latihan kemahiran, bantuan akses kepada pembiayaan dan pendaftaran perniagaan,” katanya.

Jelasnya, bagi penganggur jangka masa panjang yang dikenal pasti dalam program Kerjaya UP, Perkeso akan melaksanakan program intervensi khas di mana individu terbabit akan menjalani program khas untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka.

Malah, sejumlah 7,000 sehingga 10,000 penempatan pekerja dijangka akan dapat dihasilkan melalui program tersebut di seluruh negara.

“Intervensi yang akan dilaksanakan termasuklah ujian psikometri, kaunseling kerjaya, program latihan kemahiran, simulasi temu duga dan padanan kerja melalui MYFutureJobs,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya