Penghuni rumah usang, daif dibantu - Utusan Malaysia

Penghuni rumah usang, daif dibantu

NICOLE Tan Lee Koon melawat keadaan rumah yang dihuni beberapa orang warga emas di Jalan Quek Kai Dong (Jalan Limbok) Seremban hari ini.FOTO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan negeri akan membantu sekumpulan penghuni yang mendiami sebuah rumah usang dan daif di Jalan Quek Kai Dong (Jalan Limbok) dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, bantuan tersebut termasuklah membantu mereka yang sebahagiannya terdiri daripada warga emas yang masih mahu bekerja untuk mendapatkan pekerjaan sesuai.

Selain itu, kata beliau, bagi warga emas yang sudah uzur, mereka akan ditempatkan di rumah warga emas yang lebih selesa.

“Saya mendapati seramai enam orang warga tempatan termasuk seorang yang memegang kad pemastautin tetap. Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turun padang bagi melihat sendiri keadaan rumah ini.

“Bagaimanapun, saya melihat keadaan mereka baik dan kami akan membantu mereka yang masih mahu bekerja mendapatkan pekerjaan, manakala, bagi mereka yang sudah uzur kami berhasrat untuk menempatkan mereka di rumah warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia semasa meninjau keadaan penghuni di rumah usang tersebut di Jalan Quek Kai Dong (Jalan Limbok) dekat sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, Ng Chin Tsai dan Pengurus Pusat Gelandangan Dapur Kausar, Azlin Ali.

Akhbar ini pada 19 Mei lalu melaporkan terdapat tujuh orang penghuni sebuah rumah usang dan daif di sini yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Kesemuanya terdiri daripada mereka yang tidak berkemampuan dan menyewa di dalam rumah tersebut bercampur lelaki dan perempuan serta terdiri berbilang bangsa.

Lebih menyedihkan, empat orang daripada tujuh penghuni rumah tersebut merupakan warga emas dan ada daripadanya tidak mampu bekerja dan mengharapkan ihsan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendapatkan makanan.

Sementara itu, Nicole memberitahu, pihaknya akan memastikan semua warga emas yang terlibat akan mendapat bantuan dan perhatian segera.

“Bagi seorang individu yang merupakan permastautin tetap, saya berharap ada mana-mana NGO yang boleh membantu mendapatkan pekerjaan atau bantuan. Saya juga berhasrat membantu dia mendapatkan permohonan warganegara kerana sudah lama menetap di negara ini” katanya.

Dalam kunjungan itu juga, Nicole turut menyerahkan bantuan bakul makanan daripada pihak JKM kepada penghuni rumah berkenaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya