Penggunaan katil rawat pesakit Covid-19 di NS belum membimbangkan - Utusan Malaysia

Penggunaan katil rawat pesakit Covid-19 di NS belum membimbangkan

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kadar penggunaan katil bagi rawatan dan rawatan kritikal serta unit rawatan rapi (ICU) yang dikhususkan untuk pesakit Covid-19 di Negeri Sembilan masih terkawal dan belum mencapai tahap membimbangkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19 di negeri ini, namun kadar penggunaan kemudahan katil di hospital masih di bawah paras 50 peratus.

“Kadar penggunaan katil di negeri ini untuk pesakit Covid-19 masih terkawal dan masih banyak lagi kekosongan. Di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban misalnya masih berbaki 325 katil.

“Secara keseluruhan katil ICU di HTJ daripada 16 hanya dua sahaja yang digunakan setakat ini, bagaimanapun, ini bukan bermakna untuk diisi sebaliknya kita berharap kalau boleh dikurangkan terus,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, di sesetengah negeri terutama di Lembah Klang kadar penggunaan katil membabitkan pesakit Covid-19 di hospital agak kritikal sehingga mencecah melebihi tahap 70 peratus.

Terdapat juga antara hospital tertentu yang menghampiri kadar kapasiti penggunaan katil sehingga 100 peratus.

Dalam pada itu, menurut Aminuddin, kerajaan negeri mendapat maklumat daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) bahawa terdapat permohonan daripada Selangor untuk menempatkan pesakit Covid-19 dari negeri itu ke ICU di hospital di negeri ini.

Sementara itu, beliau menegaskan, mana-mana masjid dan surau di negeri ini yang ingkar dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan akan ditutup selama tujuh hari dan ia berkuatkuasa bermula hari ini.

Langkah tegas itu, berikutan terdapat sebuah masjid yang melanggar SOP iaitu ada jemaah tidak membawa sejadah ke masjid baru-baru ini.

“Mana-mana masjid dan surau di negeri yang melanggar SOP akan ditutup selama tujuh hari. Saya tidak mahu hanya disebabkan seorang yang tidak mengikut SOP namun semua yang terlibat.

“Kerajaan negeri terpaksa mengetatkan SOP di masjid dan surau bagi memastikan semua jemaah dalam keadaan baik sekali gus membendung penularan wabak Covid-19,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN