Bekalan daging dari India bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19 - Utusan Malaysia

Bekalan daging dari India bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19

NORLIZAN Mohd. Noor dalam program pelancaran My Best Buy Aidilfitri di perkarangan Wisma Tani, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengguna tidak perlu bimbang dan sangsi terhadap bekalan daging lembu dan produk lain yang diimport dari India kerana ia bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19 walaupun republik itu berdepan situasi pandemik yang buruk.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Norlizan Mohd. Noor berkata, bagi memastikan daging berkenaan bebas daripada sebarang jangkitan penyakit, pemeriksaan ke atas daging turut dilakukan di pintu masuk Malaysia.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah melakukan ujian pengesanan Covid-19 ke atas sampel bekalan daging di pintu masuk.

“Tahun lepas sahaja, sebanyak 400 sampel diuji dan keputusan ujian lanjut di makmal yang diperoleh dalam tempoh tigaaa hari itu membuktikan kesemua sampel berkenaan adalah bebas daripada sebarang penyakit.

“Malah, secara saintifiknya, virus Covid 19 tidak boleh meresapi ke dalam sel haiwan tidak sama seperti manusia. Kalau berlaku pun, semasa proses pengendalian dan penyediaan daging itu,” katanya dalam majlis pelancaran My Best Buy Aidilfitri yang disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee, di kementerian itu, di sini hari ini.

Norlizan berkata, buat masa ini, MAFI belum memutuskan untuk memberhentikan pengimportan bekalan daging dan juga produk lain dari negara berkenaan.

“Malaysia mempunyai sistem pemeriksaan sumber daging import berdasarkan rumah sembelih yang diluluskan oleh kerajaan Malaysia.

“Di peringkat pemprosesan di luar negara, mereka telah diberikan penerangan negara berkenaan untuk mematuhi segala peraturan digariskan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN