JOHOR BAHRU: Pengumuman pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi bermula 1 Jun ini tidak menimbulkan kegusaran dalam kalangan pengguna sebaliknya mereka lebih berhemah dalam membuat persediaan menghadapinya.
Tinjauan yang dibuat di beberapa pasar raya mendapati, meskipun jumlah pelanggan mencatatkan peningkatan namun bilangan mereka yang membeli sehingga penuh satu troli hanya boleh dihitung dengan jari sahaja.
Sebuah pasar raya di Bandar Seri Alam, dekat sini misalnya, dibanjiri pengunjung seawal pukul 8 pagi menyebabkan pengunjung terpaksa beratur panjang sehingga 100 meter.
Bagi Shafienna Wanie Mohd. Faisal, 26, hal ini menunjukkan kematangan dalam kalangan pengunjung yang lebih bijak berbelanja dan tidak mengulangi kesilapan lalu hingga membawa kepada pembaziran.
Katanya, dia percaya pengguna juga sudah mempunyai pengalaman berhadapan dengan situasi ‘total lockdown’ yang melanda negara pada Mac tahun lalu.
“Bagi keluarga kecil atau tinggal seorang diri seperti saya, pasti kami lebih teliti dalam soal berbelanja, jauh sekali berlaku pembelian panik. Walaupun nampak di media sosial ramai pengunjung berpusu-pusu membanjiri pasar raya, itu tidak berlaku di sini dan situasi di sini juga lebih teratur dan tidak terlalu sesak.
“Ini menunjukkan pengguna kini lebih matang menghadapi pandemik,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di Jalan Tebrau, di sini hari ini.
Pengguna, Mohd. Shahrul Naim Mohd. Ali, 37, pula berkata, orang ramai tidak perlu melatah hingga terikut-ikut melakukan pembelian panik kerana masih ada banyak masa untuk membuat persiapan.
Dia yang bekerja sebagai pemandu e-Hailing itu juga hanya membeli barangan keperluan yang penting sahaja memandangkan sudah kehabisan stok di rumah.
“Buat apa nak buat pembelian panik, ketika ‘lockdown’ pun kita masih boleh keluar untuk membeli barangan keperluan. Jadi, tak perlu nak cemas macam tiada hari esok.
“Lagipun, pembelian juga boleh dibuat secara atas talian. Jadi, tak perlu khuatir dan beli apa yang perlu sahaja dahulu,” jelasnya.
Bagi V. Navamani, 63, pengguna perlu merancang pembelian dari rumah sebelum pergi ke pasar raya bagi mengelak berbelanja yang tidak sepatutnya.
“(Sekatan pergerakan penuh) total lockdown fasa pertama ini hanya dua minggu sahaja, jadi tak perlu cemas. Rancang dahulu apa nak dibeli bagi mengelakkan pembaziran serta fikirkan tentang keperluan pengguna yang lain.
“Kalau melihat keadaan yang tidak sesak ketika ini, saya rasa pengguna sudah tahu apa yang perlu dilakukan dan menjadi pengguna yang lebih bijak,” katanya. – UTUSAN ONLINE