Pengawal keselamatan buta selepas perut ditebuk, ditinggal isteri - Utusan Malaysia

Pengawal keselamatan buta selepas perut ditebuk, ditinggal isteri

NORIDEAZAHER Mohamed (kanan) kini dijaga ibunya yang berusia 83 tahun selepas ditinggalkan isteri akibat penyakit dialaminya di Skudai Kiri, Johor Bahru di Johor. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan kini hidup dalam ‘kegelapan’ selepas kehilangan penglihatan dipercayai gara-gara komplikasi daripada pembedahan usus yang dijalani di sebuah hospital kerajaan, di sini dua tahun lalu.

Lebih memeritkan, Norideazaher Mohamed, 46, juga perlu bergantung kepada pek najis yang diletakkan di bahagian perutnya untuk membuang air besar dan kecil.

Dakwanya, selepas menjalani pembedahan itu, dia hanya terlantar di atas katil dan tidak mampu berjalan untuk mencari rezeki.

“Episod malang saya bermula selepas mendapatkan rawatan di hospital berkenaan kerana berasa sakit perut selepas pulang daripada kerja.

“Doktor tidak melakukan pemeriksaan terperinci sebaliknya terus menjalankan pembedahan di bahagian perut tanpa membenarkan saya melihat filem x-ray,” katanya ketika menerima kunjungan Timbalan Pengerusi Permata Baiduri Malaysia (Johor), Nuradlina Saniman di Skudai Kiri, di sini hari ini.

Tambah Norideazaher, selepas menjalani pembedahan itu, deria penglihatannya semakin teruk dan mula menghilang sebelum akhirnya ditahan di hospital terbabit selama kira-kira tiga bulan.

“Selepas itu baru saya dibenarkan pulang tetapi tanpa menerima sebarang rawatan susulan,” ujarnya.

Sementara itu, Norideazaher memberitahu, dia telah memohon bantuan Perkeso untuk meringankan beban, malah pegawai agensi itu juga sudah membuat lawatan terhadapnya namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan permohonan.

“Selain itu, saya tidak menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahupun Baitulmal kerana tidak berupaya berkunjung ke pejabat mereka,” ujarnya yang kini dijaga ibunya yang berusia 83 tahun.

Katanya, akibat penyakit dialaminya itu, isterinya telah bertindak meninggalkannya seorang diri setelah keluar daripada rumah bersama anak-anak mereka.

Ini sekaligus memaksanya hanya bergantung penuh kepada ibunya dan seorang adiknya yang tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu membeli pek najis dan susu khas yang tinggi kosnya.

Dalam pada itu, Nuradlina memberitahu pihaknya akan membawa kes Norideazaher kepada pihak berwajib untuk tindakan susulan bagi mendapatkan bantuan sewajarnya.

“Pihak Permata Baiduri amat bersimpati dengan nasib dialami Norideazaher. Program Infak Bakul Kasih Ramadan ini dijalankan untuk membantu golongan yang memerlukan seperti beliau,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat untuk membantu Norideazaher dan golongan memerlukan lain boleh membuat sumbangan ke akaun Maybank pertubuhan itu iaitu 551128630934. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN