Pesta Kaamatan tetap 'meriah' tanpa pengunjung - Utusan Malaysia

Pesta Kaamatan tetap ‘meriah’ tanpa pengunjung

Antara persembahan kebudayaan sempena majlis perasmian sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah 2021 yang diadakan secara dalam talian
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG: Setiap tahun sambutan Pesta Kaamatan di Sabah diraikan dengan penuh kemeriahan semasa hari kemuncak sambutan pada 30 dan 31 Mei.

Namun, tahun ini Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Murut (KDCA) yang menjadi lokasi penganjuran Pesta Kaamatan begitu sunyi tanpa kehadiran pengunjung berikutan sambutan tahun ini diadakan secara dalam talian.

Berbanding tahun-tahun sebelumnya, pekarangan KDCA akan dipenuhi dengan pengunjung dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk tarian tradisional masyarakat Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) serta penampilan ratu cantik Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) yang mewakili daerah masing-masing.

Majlis perasmian yang diadakan hari ini hanya dihadiri penganjur dan peserta Unduk Ngadau Kaamatan 2021 bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pandemik Covid-19 mengubah cara penganjuran pesta Kaamatan namun, mesejnya tetap sama iaitu sebagai pendamaian dan keamanan yang menuntut rakyat untuk bersatu serta memperkasakan perpaduan kaum yang ada di Sabah yang menjadi model perpaduan masyarakat berbilang kaum.

Beliau berkata, perpaduan dan kerjasama yang utuh antara masyarakat berbilang kaum di negeri ini akan membawa Sabah ke tahap pembangunan yang lebih tinggi selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Perayaan Pesta Kaamatan adalah perayaan penting di Sabah terutama dalam kalangan masyarakat KDMR serta kumpulan etnik yang lain.

“Tema sambutan tahun ini adalah Kaamatan Tanpa Sempadan Demi Perdamaian dan Keamanan dan ia bertepatan dengan keadaan pergerakan rakyat agak terhad berikutan sekatan rentas daerah yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan Covid-19,” katanya semasa Majlis Perasmian Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah 2021 secara dalam talian hari ini.

Hajiji turut mengingatkan rakyat Sabah untuk sentiasa mematuhi SOP bagi membolehkan usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dapat dijayakan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, sambutan tahun ini merintis dimensi baharu dalam perayaan Kaamatan apabila penonton dan orang ramai dapat menyaksikannya di rumah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan perayaan Kaamatan peringkat negeri itu berkata, penganjuran Kaamatan secara dalam talian ini sedikit sebanyak membantu Malaysia mempromosikan budaya dan keunikan masyarakat Sabah kepada dunia yang dilihat akan membantu menarik lebih ramai pelancong pada masa akan datang.

Presiden  KDCA yang turut dikenali sebagai Huguan Siou (pemimpin agung), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dalam ucapannya turut menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memastikan keselamatan rakyat di negeri ini sentiasa terjamin.

Oleh itu, rakyat di negeri ini diingatkan supaya terus mematuhi SOP ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19.

Tahun ini semua aktiviti Pesta Kaamatan termasuk pertandingan menyanyi Sugandoi, malam gala Unduk Ngadau dan pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau diadakan secara online melalui Kaamatan TV tanpa kehadiran pengunjung.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya