PETALING JAYA: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan yang dijaga isterinya, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohamed Baldaruldin Mohamed, 36, juga didakwa meliwat bayi tersebut.
Bagi pertuduhan membunuh, lelaki itu didakwa telah membunuh mangsa di antara pukul 8 pagi hingga 3.30 petang, 27 April lalu di salah sebuah unit kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang dekat sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Alison Chan May Kam mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Majistret Muhammad Iskandar Zainol tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada tertuduh memandangkan kesalahan itu tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pada masa, tarikh dan tempat sama, Mohamed Baldaruldin didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Lelaki yang tidak diwakili peguam bela itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Tiada sebarang jaminan dikenakan terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan 15 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seorang bayi berusia sembilan bulan dibunuh sebelum diliwat oleh suami kepada pengasuhnya pada penghujung April lalu.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam laporan tersebut dipetik berkata hasil bedah siasat mendapati lebam di mulut bayi dipercayai disebabkan oleh tangan yang menekupkannya hingga mati serta cedera di dubur.
Jelas pegawai polis itu, punca kematian adalah kerana mulut mangsa telah ditekup hingga sesak nafas.
Bayi itu dipercayai sudah meninggal dunia sebelum diliwat atau dimasukkan benda tumpul ke duburnya.