IPOH: Seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 101 tahun merupakan antara penerima vaksin Covid-19 di hospital swasta, Hospital Pakar Komuniti Ipoh (PCSH) di sini di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.
Mereka ialah seorang lelaki, Cheong Chee Teik dari Taman Song Choon dan seorang wanita, Yong Siew Yin.
Mereka merupakan antara 100 orang yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di hospital berkenaan hari ini.
Menurut Presiden The Perak Chinese Maternity Association, Datuk Lee Hau Hian, seramai 100 penerima menerima suntikan vaksin setiap hari di PPV berkenaan.
“Penerima vaksin hari ini terdiri daripada mereka yang berusia antara 84 tahun hingga 101 tahun.
“Penerima tertua seorang lelaki, Cheong Chee Teik di Taman Song Choon dan seorang wanita berusia 101 tahun, Yong Siew Yin dari sebuah Rumah Jururawat di sini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, PCSH yang berusia 117 tahun menjadi hospital swasta pertama di Ipoh yang menjadi PPV untuk vaksinasi Covid-19 di bawah PICK.
Hau Hian berkata, ketika ini vaksin Sinovac digunakan di PPV itu yang dibekalkan dari Klinik Kesihatan Gunung Rapat.
“PPV ini dikendalikan oleh doktor, jururawat dan kakitangan PCSH yang beroperasi lima hari seminggu dari hari Isnin hingga Jumaat mulai pukul 9 pagi hingga 4 petang,” katanya.
Menurutnya, penerima dan tarikh vaksinasi ditentukan oleh Kementerian Kesihatan menerusi pendaftaran MySejahtera atau Vaksincovid.gov.my.
Katanya, sehubungan itu orang ramai dinasihatkan untuk tidak datang ke PPV itu tanpa temujanji terlebih dahulu.
“Penerima dinasihatkan untuk tiba di PCSH dalam masa 15 minit dari masa vaksinasi yang telah ditetapkan bagi membolehkan penjarakan sosial,” katanya. – UTUSAN ONLINE