Penduduk Teluk Renjuna jalani ujian calitan - Utusan Malaysia

Penduduk Teluk Renjuna jalani ujian calitan

Empat beranak memasuki SK Pulau Beluru bagi menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Penduduk di Kampung Teluk Renjuna, di sini mula menjalani ujian saringan Covid-19 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru hari ini, susulan penularan pandemik itu yang dikesan di sekitar kepulauan delta Kelantan sejak beberapa hari lalu.

Penularannya dikatakan berpunca daripada seorang wanita mengandung yang didapati positif, selepas dia bertindak melarikan diri dari Mukim Bunut Susu bagi mengelak menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) pada 9 Mei lalu.

Akibat penularan itu, kepulauan delta melibatkan lokaliti di Kampung Teluk Renjuna, Kampung Pantai Haji Nik Mat, Kampung Pulau Beluru dan Kampung Pantai Suri dikenakan PKPD mulai esok hingga 4 Jun depan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang ramai mula berkumpul di dewan terbuka SK Pulau Beluru seawal pukul 8 pagi namun masing-masing mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan.

Difahamkan, ujian yang berlangsung hari ini hanya melibatkan penduduk dari Kampung Teluk Renjuna manakala kawasan lain akan dibuat secara berperingkat.

Dianggarkan kira-kira 300 penduduk akan menjalani ujian itu hari ini dan selepas itu, mereka perlu menjalani kuarantin selama 14 hari dengan memakai gelang merah jambu.

Seorang penduduk Rohana Mamat, 49, berkata, dia selesai menjalani ujian calitan Covid-19 pada pukul 8.45 pagi dan berharap keputusannya kelak negatif.

“Saya dan keluarga reda terpaksa menjalani ujian saringan ini selepas Covid-19 mula menular di kawasan kampung kami.

“Saya berdoa agar seluruh penduduk di kawasan kepulauan ini dilindungi daripada Covid-19,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya